AGENDANASIONAL

Lapan daerah Selangor, KL, Putrajaya diramal hujan hingga 2 petang

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang sehingga 2 petang.

Agensi itu memaklumkan di Facebook, hujan lebat disertai ribut petir juga dijangka melanda Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan beberapa kawasan di Kedah, Johor dan Sarawak.

MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :