Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid (tengah) bersama Azman Adnan dan Bunyamin Omar menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di antara Selangor FC dan JDT di Restoran Nasi Kandar Haji Basheer, Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
ADNSELANGOR

Lebih 250 penyokong saksikan tayangan skrin besar Selangor FC menentang JDT

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pemain Selangor FC beraksi penuh semangat dan terbaik meski kemenangan tidak berpihak kepada pasukan merah kuning dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Lagenda bola sepak Selangor Azman Adnan mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor FC yang mampu melangkah jauh dan berjuang sehingga ke perlawanan akhir Piala FA.

“Prestasi pemain dilihat penuh bersemangat dan mereka mempamerkan momentum terbaik tetapi inilah adat dalam sukan bola sepak walaupun sudah usaha tetapi kalah menang adat perlawanan.

“Kita dapat lihat aksi ditonjolkan pemain JDT tidak kurang hebatnya dan mereka pasukan bertaraf tinggi,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui ketika menyaksikan perlawanan bola sepak Selangor FC menentang JDT menerusi skrin besar yang dianjurkan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid di Restoran Nasi Kandar Haji Basheer di sini malam tadi.

Azman yang juga bekas penyerang Malaysia era 90-an turut menasihatkan pemain bola sepak muda agar sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa.

“Nasihat saya kepada pemain bola sepak muda sentiasa fokus, bekerja keras dan berusaha memperbaiki diri kerana bukan mudah mencipta kejayaan.

“Buat Faisal Halim saya doakan beliau segera sembuh dan kembali beraksi dengan penuh bersemangat kerana perjalanannya masih panjang,” katanya yang juga salah seorang peminat Faisal.

Terdahulu, Danial ketika ditemui berkata lebih 250 penyokong hadir di tayangan skrin besar untuk memberikan sokongan kepada Selangor FC.

“Suasana meriah meski kemenangan tidak berpihak kepada Selangor FC tetapi penyokong sangat ramai dan sentiasa berada di belakang pasukan merah kuning,” katanya.

Juara bertahan JDT menambah lambakan koleksi kejuaraan selepas menundukkan Selangor FC 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA 2024/2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Suasana Restoran Nasi Kandar Haji Basheer, Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala FA di antara Selangor FC dan JDT yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid, Azman Adnan dan Bunyamin Omar pada 24 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :