Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia menerima pingat gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle pada 5 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Lee Zii Jia sasar emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028

PARIS, 6 OGOS: Pemain badminton perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia, tidak akan berhenti dengan pingat gangsa di Olimpik Paris 2024, tetapi akan meneruskan perjuangan untuk menang pingat emas di Sukan Olimpik seterusnya iaitu di Los Angeles 2028 (LA2028).

Zii Jia yang tiba di Paris dengan impian emas selepas prestasi baik di Kejohanan Dunia baru-baru ini, berkata beliau seperti ‘dikejutkan daripada tidur lena’ oleh Kunlavut Vitidsarn selepas tewas pada peringkat separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena.

“Saya seperti hilang pada ketika itu dan tidak pasti jika saya mahukan pingat gangsa ini. Kita (Malaysia) dah ada banyak gangsa dan perak Sukan Olimpik, yang belum ada ialah emas.

“Namun, bagi saya ini satu permulaan perjalanan yang baik untuk saya. Tentu sekali saya akan kembali di LA28, dan akan terus mencuba untuk menang emas untuk Malaysia dan diri saya,” katanya selepas perlawanan pingat gangsa, semalam.

Terdahulu, Zii Jia menjadi atlet Malaysia ketiga menang pingat Olimpik badminton perseorangan lelaki selepas Datuk Rashid Sidek menang gangsa di Atlanta 1996, dan tiga pingat perak Datuk Lee Chong Wei di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Pemain ketujuh dunia itu, berjaya kembali untuk menang selepas tewas set pertama kepada Lakshya Sen dari India, 13-21, 21-16, 21-11, dan membawa pulang pingat gangsa, selepas tewas kepada Chen Long dari China di pusingan 16 terakhir pada penampilan pertamanya di Tokyo 2020.

Juara All England 2021 itu berkata sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain persendirian pada awal 2022, banyak telah berlaku dan menjadikan beliau lebih matang.

Sementara itu Lakshya berkata tangan kanannya berdarah ketika perlawanan akibat luka, yang menjadi gangguan kepadanya dan meneruskan permainan dengan memakai balutan.

“Saya tidak dapat lakukan yang terbaik, sebaik beliau dapat rentak, tekanan mula meningkat. Ia agak sukar untuk mengawal permainan.

“Tidak, saya tidak rasakannya (kecederaan menukar arah perlawanan), beliau bermain dengan baik. Sebaik beliau mendapat rentak, ia menjadi sukar untuk saya,” katanya.

Sementara itu, pemain Denmark Viktor Axelsen mengekalkan pingat emas perseorangan lelaki dengan kemenangan 21-11, 21-11 ke atas pemain Thailand Kunlavut di final.

Terdahulu pemain nombor satu dunia An Se Young mengalahkan pemain China He Bing Jiao 21-13, 21-16 untuk pingat emas perseorangan wanita.

– BERNAMA

 


Pengarang :