Kanak-kanak Palestin yang cedera akibat serangan Israel duduk atas lantai di Hospital Nasser di Khan Yunis selatan Gaza pada 9 Disember 2023. Foto Reuters
AGENDAGLOBAL

Malaysia kecam Israel serang dua sekolah, 30 individu dikhuatiri maut

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terkini oleh rejim Zionis Israel yang menyasarkan dua sekolah di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sekolah Hassan Salama dan al-Nasr di Gaza.

Dalam satu kenyataan pada Isnin (5 Ogos), Kementerian Luar Negeri Malaysia berkata “serangan biadab” itu mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 30 orang awam, yang majoritinya kanak-kanak dan ramai lagi yang tercedera.

Menurut kementerian itu, Malaysia menuntut tindak balas yang lebih konkrit dan berkesan daripada masyarakat antarabangsa, khususnya mereka yang memperjuangkan peraturan perintah antarabangsa, terhadap rejim Zionis Israel yang masih dan terus bertekad untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan memusnahkan Gaza.

Ia menambah bahawa rejim Zionis Israel jelas menunjukkan kepada dunia “keangkuhannya” dengan mengabaikan seruan antarabangsa bagi gencatan senjata seperti yang digariskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024) dan untuk menghormati semua undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan antarabangsa serta hak asasi manusia.

“Malaysia akan terus berpegang teguh kepada komitmen terhadap perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang sepemikiran untuk kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :