Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan bendera SUKMA kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai simbolik Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Selangor akan mengambil tanggungjawab menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB terima bendera SUKMA, simbolik Selangor tuan rumah 2026

KUCHING, 24 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima penyerahan bendera kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada majlis penutup temasya di Stadium Perpaduan di sini malam ini.

Penyerahan dibuat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada Amirudin yang mewakili Selangor sebagai simbolik negeri selaku tuan rumah edisi ke-22 yang dijadual pada 2026.

Sebaik penyerahan bendera, acara persembahan kebudayaan Joget Selangor selaku tuan rumah SUKMA akan datang dipersembahkan kepada ribuan penonton yang hadir.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pegawai Kerajaan Negeri Selangor ketika Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kejohanan kali ini menyaksikan Selangor meraih kedudukan ketiga secara keseluruhan dengan tuaian 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.

Tuan rumah Sarawak muncul juara memperoleh 76 emas diikuti naib juara Wilayah Persekutuan 75 emas.

Pada 18 Julai, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026.

Ia selepas tawaran dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah SUKMA yang ditetapkan secara berselang-seli.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.


Pengarang :