Barisan pemain Media Selangor yang melakar kemenangan 2-0 ke atas Kumpulan Karangkraf pada aksi perlawanan bola sepak persahabatan di EV Arena, Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Media Selangor tewaskan Kumpulan Karangkraf pada aksi bola sepak persahabatan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) menewaskan Kumpulan Karangkraf 2-0 pada aksi perlawanan bola sepak persahabatan semalam.

Berlangsung di EV Arena, Seksyen 13 di sini, penyarung jersi 21, Mohd Ikhwan Kamarudin menjaringkan kedua-dua gol perlawanan.

Pasukan lawan turut melakukan beberapa kali cubaan untuk membolosi gawang gol Media Selangor namun berjaya dihalang penjaga gol Mohamad Nor Syafiq Mohamad Redzuan.

Sementara itu, Ketua Kluster Operasi dan Strategik Media Selangor Mohd Zulkifli Ismail berkata perlawanan bola sepak persahabatan itu sempena meraikan ulang tahun ke-15 syarikat berkenaan.

Aksi pemain dalam perlawanan bola sepak persahabatan antara Media Selangor dan Kumpulan Karangkraf di EV Arena, Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Ogos 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR

“Ini merupakan acara kedua diadakan bersama pemegang taruh luaran selepas acara boling persahabatan yang kita anjurkan 28 April lalu.

“Perlawanan persahabatan ini diadakan bagi membina hubungan lebih erat antara kedua-dua organisasi media tempatan selain sebagai tanda penghargaan atas kerjasama baik kepada Media Selangor,” katanya.

Mohd Zulkifli berharap perlawanan persahabatan itu dapat memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak mengadakan program lain pada masa akan datang.

Jelasnya, sempena 15 tahun Media Selangor akan menganjurkan pelbagai lagi program antaranya perlawanan badminton bersama agensi media lain.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula Pengarang Kumpulan Kanan Media Selangor Fathi Aris Omar menyampaikan hadiah penghargaan kepada wakil Kumpulan Karangkraf yang diwakili Pengarah Eksekutif Akmal Eirfan Mohamed Fauzi.


Pengarang :