EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah (dua dari kiri) bersama Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MDEC Khairul Mizan Shagul Hamid (kiri), Pengarah Urusan SSDU Innovations Sdn Bhd, Ahmad Akmal Hamzah (dua, kanan) dan pelawak Ajak Shiro (kanan) bergambar pada Program Jelajah Saya Digital Setia Alam di Setia City Mall pada 25 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Miliki rangkaian 5G meluas, Selangor bakal bina 17 lagi pusat data

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak 17 lagi pusat data bakal beroperasi sekitar Selangor menjelang tahun depan, melibatkan kos pembangunan RM52 bilion, kata EXCO pembangunan inovasi.

Dr Fahmi Ngah berkata banyak syarikat mahu melabur dalam industri itu berikutan hampir keseluruhan kawasan negeri ini memiliki rangkaian 5G, sekali gus memudahkan urusan perniagaan.

“Angka ini merupakan permohonan baharu dan kita akan laksanakan. Ini tidak termasuk pusat data dibangunkan Google di Elmina Business Park bernilai lebih RM9 bilion.

“Kita miliki rangkaian 5G yang meluas menyebabkan syarikat-syarikat yakin untuk melabur. Sekarang banyak urusan berjalan secara digital dan kita perlu manfaatkan,” katanya di sini hari ini.

Bercakap dalam program Sembang Santai anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Dr Fahmi menjelaskan lebih 96 peratus kawasan di Selangor memiliki rangkaian 5G setakat ini.

EXCO Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Fahmi Ngah (tengah) bersama Pengarah Urusan SSDU Innovations Sdn Bhd, Ahmad Akmal Hamzah (kiri) dan pelawak Ajak Shiro pada Program Jelajah Saya Digital Setia Alam di Setia City Mall pada 25 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau turut menjangka liputan rangkaian 5G mencapai 100 peratus tahun depan bagi melengkapkan infrastruktur, sesuai dengan status Selangor sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Ini antara infrastruktur penting. Kita perlu sediakan pelbagai kemudahan untuk terus menyumbang serta memacu ekonomi,” katanya lagi.

Tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat dari Singapura, RDA Ventures Pte. Ltd bagi membangunkan tiga pusat data di Cyberjaya.

Disertai agensi besar termasuk MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, pusat terbabit bakal menawarkan peluang kerja dalam bidang elektronik, sains komputer, statistik dan pentadbiran.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Selangor yang memiliki 18 pusat data menerima permintaan tinggi pelbagai pihak, namun perlu meneliti lanjut terutama kesediaan bekalan tenaga.


Pengarang :