SHAH ALAM, 22 OGOS: Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 yang menempatkan semua institusi perbankan bawah satu bumbung menjadi platform terbaik pengurusan kewangan.
Penjawat awam Nurerma Abd Ghani, 36, berkata pelbagai produk ditawarkan institusi berkaitan menerusi acara literasi kewangan terbesar negara yang julung kali diadakan di Selangor.
“Setiap institusi perbankan ada kelebihan masing-masing dan menerusi acara ini ia memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat lanjut secara terus daripada kakitangan mereka.
“Bukan itu sahaja, program ini juga membantu dalam pengukuhan kewangan dengan lebih teratur untuk masa depan,” katanya kepada Selangorkini.
Kakitangan swasta Wan Abdullah Wan Alias, 56, pula menjelaskan dirinya terpanggil ke acara tersebut bagi mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan wasiat oleh Amanah Raya.
“Menerusi Amanah Raya ini, saya dapat pelbagai maklumat dalam penyempurnaan wasiat dan mereka juga memberikan khidmat nasihat,” katanya.
Sementara itu, minat mendalam terhadap pelaburan membawa ejen insurans Ong Sim Ee, 45, menghadiri program terbabit yang berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Setia City.
“Sebenarnya, saya berhasrat untuk buat simpanan dalam bentuk pelaburan demi masa depan dan berharap acara ini dapat membantu buat pilihan tepat,” katanya.
Bagi Mohd Izzat Ashrraff, 62, berpendapat acara itu membuka minda masyarakat kepentingan mengurus kewangan demi masa depan terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Tanpa pengurusan kewangan bijak dan teratur pengeluaran simpanan akan menjadi sia-sia kerana digunakan untuk seketika sahaja,” katanya yang bekerja sendiri.
Pekerja perbankan Jamna Rani, 53, pula menyifatkan acara itu memberi pendedahan awal berkaitan pinjaman khususnya kepada golongan muda supaya bijak menguruskan kewangan.
“Menerusi acara ini, anak muda khususnya lebih celik kewangan dan hanya buat pinjaman berfaedah sahaja sekaliguss tidak membebankan pengurusan kewangan,” katanya.
Pada masa sama, guru Afiq Ghazali pula membawa 40 pelajar tingkatan empat dan lima aliran perniagaan dan ekonomi ke acara itu bagi mendapat pendedahan pengurusan kewangan.
“Mereka juga akan mendapat pembelajaran tambahan. Pembelajaran ada diberikan di sekolah tetapi mungkin ada perbezaan yang diperolehi menerusi acara ini berkaitan aliran masing-masing,” katanya.
MSAM 2024 anjuran Permodanan Nasional Berhad berlangsung bermula hari ini hingga Ahad menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.
Selain menawarkan hadiah bernilai sehingga RM1 juta, acara lain termasuk Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.