Ketua Pengurusan Inovasi Perbankan Awam Maybank Muhammad Razif Abd Razak dan Ketua Belia dan Perbankan Awam Maybank Hani Nazrina Hanizar bersama maskot harimau ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City , Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MSAM platform rakan korporat PNB bantu masyarakat rancang kewangan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadi platform Malayan Banking Berhad (Maybank) meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai perancangan kewangan masa depan.

Ketua Belia dan Perbankan Awam Maybank Hani Nazrina Hanizar berkata selaku rakan korporat PNB, pihaknya menawarkan pelbagai aktiviti di reruai sepanjang empat hari program berkenaan.

Menurutnya, antara kempen menarik yang ditawarkan termasuklah peluang pengunjung memenangi Proton X70 sekiranya membuka akaun simpanan Maybank sepanjang MSAM dan mengekalkan simpanan RM2,500 sehingga Januari 2025.

“Ini kali yang ke-24 Maybank menyertai MSAM dan konsep yang kami bawakan kali ini adalah memberikan solusi menyeluruh kepada pelanggan berlandaskan nilai kelestarian.

“Apa yang kita bawakan kali ini ialah pendidikan literasi kewangan dan perkhidmatan perbankan yang mudah diakses dan mampu dimiliki oleh semua pelanggan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

Temu bual Ketua Pengurusan Inovasi Perbankan Awam Maybank Muhammad Razif Abd Razak dan Ketua Belia dan Perbankan Awam Maybank Hani Nazrina Hanizar ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Pengurusan Inovasi Perbankan Awam Maybank berkata pengunjung yang berminat dengan pelaburan pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) turut berpeluang menikmati promosi serendah 4.25 peratus dan pembayaran bulanan serendah RM49.

“Pelbagai aktiviti ditawarkan untuk semua peringkat usia termasuk peluang membelai harimau menerusi teknologi Augmented Reality (AR),” kata Muhammad Razif Abd Razak.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan ke majlis Lawatan Diraja sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Turut diiringin DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan ke majlis Lawatan Diraja sempena MSAM di sini.

Sementara itu, Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) memperkenalkan produk perlindungan terbaharunya, IKHLAS Lindung di MSAM.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad berkata IKHLAS Lindung selari usaha Takaful IKHLAS untuk terus menyediakan produk takaful yang inovatif dan relevan dengan keperluan masyarakat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Muhammad Fikri Mohamad Rawi. Foto Takaful IKHLAS

“Dengan IKHLAS Lindung kami berharap dapat memberi kemudahan dan perlindungan optimum kepada setiap individu dengan mudah, tanpa pemeriksaan perubatan atau proses yang kompleks serta mengira latar belakang.

“IKHLAS Lindung menawarkan pelbagai manfaat menyeluruh termasuk perlindungan kematian dan hilang upaya menyeluruh dan kekal, manfaat kematian kemalangan tambahan dan Accelerated Death Expense (ADE),” kata Muhammad Fikri Mohamad Rawi.

Berlangsung sejak 22 Ogos hingga esok, MSAM menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan buat pengunjung bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.

Hadiah bernilai kira-kira RM1 juta turut menanti pengunjung bertuah antaranya sebuah pangsapuri servis di Serasi Residences, Putra Heights dan sebuah kenderaan elektrik BYD Dolphin Standard.

Orang ramai membuat pendaftaran Insuran Takaful ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengarang :