Antara peserta yang hadir pada program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 di Dewan Beringin, Gombak pada 19 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negeri anjur program usahawan digital percuma, terhad 200 peserta

SHAH ALAM, 22 OGOS: Usahawan tempatan dipelawa menyertai program keusahawanan digital secara percuma menerusi Program Selangor 1,000 Digital pada 5 September depan.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerusi Facebook memaklumkan program di Dewan Seri Cempaka, Kajang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang menawarkan 200 tempat duduk sahaja.

Pengisian program termasuk menimba ilmu berkaitan e-dagang dan pendigitalan daripada pakar industri antaranya TikTok Shop, Touch ‘n Go eWallet dan Maxis Business.

Mereka yang berminat boleh menempah tiket percuma menerusi pautan https://tinyurl.com/Daftar1000Digital-MPKJ

Sebelum ini, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1,000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Program itu menjelajah ke lima lokasi bermula di daerah Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Ia adalah kolaborasi antara Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Platform Selangor (PLATS).

Menerusi program ini terdapat 10 topik latihan antaranya pengurusan perniagaan secara digital dan teknik penciptaan kandungan menarik untuk memberi pendedahan kepada peserta berkaitan tranformasi pendigitalan supaya dapat menjana pendapatan dan perkhidmatan mereka.


Pengarang :