Anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalani latihan amal dan simulasi bencana di pesisir lombong Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 26 Oktober 2022. Foto MPKL
AGENSISELANGOR

PBT diarah selenggara aset, persediaan awal hadapi risiko bencana

SHAH ALAM, 23 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah menyelanggara aset sebagai langkah persediaan hadapi bencana alam susulan hujan lebat ketika ini.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) turut meminta PBT dan agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersiap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini termasuk bot dan alatan lain yang diperlukan ketika menyelamat. Bukan hanya tumpu kepada banjir tetapi juga kejadian tanah runtuh.

“Pastikan bot dan aset lain diselenggara supaya kita dapat mengurus keadaan kecemasan dengan lancar,” kata Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan UPBN Muhammad Hanafi Ahmad.

Bercakap ketika dihubungi, beliau berkata setakat ini UPBN tidak menerima laporan bah dan tanah runtuh, sebaliknya hanya membabitkan kejadian banjir kilat.

“Pusat operasi Petaling, Klang dan Hulu Langat memantau keadaan di semua kawasan 24 jam sehari. Kita hanya terima laporan banjir kilat. Setakat ini tanah runtuh tiada,” katanya.

Pada Selasa, banjir kilat dilaporkan berlaku berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan Padang Jawa, Klang susulan hujan lebat berterusan.

Berikutan itu trafik dilaporkan perlahan menghala stesen KTM Padang Jawa serta arah bertentangan menuju ke Seksyen 7, Shah Alam.

Semalam, tujuh lokasi sekitar ibu negara turut dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang.

Berdasarkan laporan Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Kuala Lumpur (KLCCC), lokasi terbabit adalah Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting-Klang dan Jalan Dutamas.

 

 


Pengarang :