Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa (kiri) memakaikan pangkat kepada Ketua Polis Daerah Putrajaya yang baharu Aidi Sham Mohamed (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada 15 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Pemain bola sepak bawa kerambit suspek baling bom petrol di pusat hiburan

PUTRAJAYA, 15 OGOS: Polis mengenal pasti pemain bola sepak amatur yang ditahan 8 Ogos lalu kerana membawa kerambit ke padang bola, sebagai suspek kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu negara Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata berdasarkan siasatan polis yakin lelaki berusia 22 tahun itu adalah orang dikehendaki berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata pemain bola sepak itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana membawa kerambit dan membaling bom petrol.

“Polis kenal pasti pemain bola sepak itu sebagai suspek kes molotov cocktail berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengecaman,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di sini, hari ini.

Lelaki itu dikesan membawa kerambit ke padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lalu selepas gambar kejadian itu tular di media sosial.

– BERNAMA


Pengarang :