Jambatan Slim Village runtuh pada jam 8 malam, 23 Ogos 2024 menyebabkan 19 individu terperangkap di pusat peranginan Risda Eco Park Resort Kampung Ulu Slim. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis: 19 individu terperangkap akibat kejadian kepala air diselamatkan hari ini

TANJUNG MALIM, 24 OGOS: Seramai 19 individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air di pusat peranginan Risda Eco Park Resort di Kampung Ulu Slim akan diselamatkan hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata operasi menyelamat mangsa terdiri daripada pengunjung dan kakitangan pusat peranginan itu akan dilaksanakan setelah air sungai surut.

“Akibat jambatan runtuh dan terputus hubungan, kita hanya ada satu akses sahaja dan kita akan cari kaedah selain bot untuk menyelamatkan mereka, dijangka hari ini.

“…dan mereka akan ditempatkan di PPS (pusat pemindahan sementara),” katanya selepas meninjau kawasan jambatan Slim Village runtuh akibat kejadian kepala air malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir.

Ratusan penduduk terperangkap susulan hujan lebat berterusan di daerah Mualim sejak petang semalam yang menyebabkan banjir dan kejadian kepala air serta mengakibatkan tiga jambatan runtuh termasuk Jambatan Slim Village selain sebuah muka sauk loji rawatan air pecah.

Kejadian itu juga menyebabkan jambatan yang menghubungkan Risda Eco Park dengan jalan utama runtuh dan pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun Azizi berkata kesemua yang terperangkap di pusat peranginan itu berada dalam keadaan selamat.

“Kita ada berkomunikasi dengan mereka melalui telefon, cuma kita difahamkan bekalan elektrik terputus di sana,” katanya.

Sementara itu, seramai 175 mangsa daripada 42 keluarga berjaya diselamatkan pasukan keselamatan dalam operasi sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.

Mereka ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Masjid Kampung Pasir dan PPS Masjid Jamek Slim Village.

– BERNAMA

 


Pengarang :