Bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terbabas dalam parit di Jalan Simpang Morib di Kampung Kelanang, Banting pada 21 Ogos 2024. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor
SELANGOR

Polis: Elak motosikal masuk lorong punca kemalangan babit bas SUK Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS: Polis mengesahkan kemalangan bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di Jalan Simpang Morib, Kampung Kelanang di Banting semalam berpunca daripada sebuah motosikal yang keluar dari simpang dan memasuki lorong bas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata situasi itu menyebabkan bas yang membawa 21 penumpang terdiri daripada kakitangan Mahkamah Shah Alam yang dalam perjalanan ke arah Simpang Morib hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lalu terbalik.

Beliau berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda keluar simpang perumahan Kelanang menghala ke simpang Morib, sama laluan dengan bas berkenaan yang juga menuju ke simpang Morib.

“Apabila bas sampai di lokasi kemalangan, motosikal terbabit dipercayai telah keluar dari simpang dan membelok ke kanan lalu memasuki laluan bas.

“Apabila jarak terlalu dekat, bas itu telah melanggar sisi sebelah kiri motosikal menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lalu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata penunggang motosikal yang merupakan lelaki tempatan berumur 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kaki dan rusuk.

Pemandu bas berumur 41 tahun bersama seorang kelindan berusia 39 tahun dan 21 penumpang, kesemuanya warga tempatan mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan, tambah beliau.

Beliau berkata ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Mahkamah Shah Alam menuju ke Pusat Latihan Awam Selangor untuk menghadiri kursus.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mazrol Mohd Din di talian 011-1853 9115 atau 03-31872222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan enam kakitangan Mahkamah Shah Alam serta kelindan bas cedera parah selepas bas SUK yang dinaiki terbabas ke parit sedalam dua meter dalam kejadian di Banting kira-kira pukul 1 tengah hari.

– BERNAMA


Pengarang :