EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau kerja baik pulih Jalan Bagan Pasir sepanjang 80 meter yang runtuh disebabkan hakisan sungai tahun lalu di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang pada 20 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Projek tebatan banjir negeri lancar, dibuat secara teliti

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Projek tebatan banjir yang dilaksana Kerajaan Negeri berjalan lancar dan dibuat secara teliti, maklum EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim bagaimanapun berkata hanya beberapa lokasi mengalami sedikit isu berhubung pengalihan utiliti dan kelulusan daripada pihak lebuh raya.

“Projek tebatan banjir kita banyak, ada yang berjalan lancar dan ada sebahagian terganggu kerana beberapa isu seperti di Taman Mutiara dan Bayu Perdana (Klang) yang kita jangka dalam tempoh dua bulan akan selesai.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau rapi semua projek tebatan banjir agar berjalan mengikut masa ditetapkan dan masalah banjir dapat diselesai secara tuntas,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau kerja baik pulih Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang di sini semalam.

Kenderaan melalui Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang yang hampir siap ketika tinjauan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim pada 20 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Ir Izham menjelaskan projek tebatan banjir mengambil tempoh masa yang lama untuk disiapkan berikutan ia memerlukan kajian menyeluruh dan terperinci.

“Kita perlu buat reka bentuk, pengambilan tanah atau mungkin sebahagiannya perlu melibatkan pengalihan utiliti yang mungkin mengambil masa agak lama.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa bersiap siaga sekiranya berlaku banjir dan turut meminta jabatan berkaitan bersedia daripada sudut peralatan dan infrastruktur berada dalam keadaan baik,” katanya.

Tahun lalu, Ir Izham dilapor berkata kerajaan persekutuan meluluskan RM455.2 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir.

Ia meliputi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kayu Ara, RTB Sungai Buloh, RTB Sungai Langat fasa satu dan RTB Sungai Kuyoh yang dijangka mengambil masa enam hingga tujuh tahun.

Selangor pula meluluskan peruntukan sebanyak RM615.06 juta kepada jabatan terbabit bagi 73 projek tebatan banjir selain Peruntukan Akaun Amanah Caruman Parit sebanyak RM41.4 juta membabitkan lapan projek.


Pengarang :