Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas berucap sempena majlis meraikan tahun ke-60 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Rai ulang tahun ke-60, PKNS sedia beri nafas baharu projek lama

SHAH ALAM, 8 OGOS: Sempena ulang tahun ke-60 penubuhannya tahun ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedia memberi nafas baharu terhadap projek pembangunan milik agensi itu.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata ia turut didorong penubuhan jawatankuasa Lembah Klang Raya, yang membantu perbadanan itu mengenal pasti projek pembangunan semula yang bersesuaian.

“Salah satu daripada objektifnya untuk mengatur balik gerak kerja Kerajaan Negeri dan melihat pembangunan lama, termasuk projek pembangunan semula seperti di Petaling Jaya.

“Sama ada ada peluang untuk buat, kita akan lihat. Ini kerana PKNS juga ada dalam jawatankuasa itu,” kata Dato’ Mahmud Abbas ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 PKNS, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat paparan kejayaan projek pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sempena ulang tahun ke-60 perbadanan itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Program bertemakan ‘Kembali Gemilang’ yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata empat bandar raya yang digabung menjadi Lembah Klang Raya mampu bersaing dan dibanding dengan kota utama Asia menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan gabungan Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang menjadi model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal.

Membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama, jelasnya, usaha itu bagi menyeimbang ekonomi kawasan yang dimajukan sejak 1970-an untuk terus aktif bersaing dengan metropolis utama.

Sementara itu, Mahmud menambah PKNS bakal mengembangkan operasinya melebihi sekadar membina rumah kos rendah, bagi memastikan kemampanan dan meningkatkan mobiliti sosial penduduk.

“Walaupun kita bina rumah kos sederhana dan tinggi, tetapi tujuan asal kita untuk rancakkan ekonomi Selangor masih sama. Kita masih buat rumah mampu milik.

“Tetapi kita terpaksa menjangkau kepada perniagaan membawa keuntungan kerana PKNS tiada lagi keistimewaan seperti dulu. Kita juga perlu bayar premium tanah seperti pemaju lain,” katanya.


Pengarang :