Beregu lelaki badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika majlis penyampaian pingat bagi acara badminton pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Arena Porte De La Chapelle pada 4 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Raih gangsa Olimpik, Aaron-Woi Yik terima insentif tambahan RM100,000

PUCHONG, 22 OGOS: Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju menambah insentif sebanyak RM100,000 kepada beregu badminton negara yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris lalu.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ganjaran RM100,000 pada awalnya ditawarkan secara kongsi antara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, dengan setiap seorang memperoleh RM50,000 setiap seorang.

“Kami berbangga untuk mengumumkan pasangan beregu badminton negara ini akan menerima insentif RM100,000 setiap seorang dan bukan lagi berkongsi.

“Keputusan ini dibuat berikutan kami melihat kerja keras yang dilakukan mereka untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia, selain ini juga merupakan pingat Olimpik kedua mereka,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kenderaan Chery kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris di pusat jualan Chery di Bukit Puchong di sini, hari ini.

Aaron, Wooi Yik dan Lee Zii Jia masing-masing menerima kereta SUV mewah berteknologi tinggi, Chery Tinggo 7 Pro bernilai RM123,800. Zii Jia bagaimanapun tidak hadir pada majlis tersebut.

MSN sebelum ini mengumumkan insentif Sukan Olimpik Paris bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan dengan pemenang emas akan menerima ganjaran RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Sementara itu, Wooi Yik mahu memberikan hadiah kemenangan kenderaan jenama automatif dari China tersebut kepada bapanya, yang sudah bertungkus lumus memastikan kejayaannya dalam bidang sukan.

“Saya rasa saya akan berikan kereta ini kepada bapa saya, sebagai tanda penghargaan kepada keluarga yang telah menjaga saya dengan baik selama ini. Tanpa mereka, saya tidak akan mampu berjaya hingga berjaya di pentas Olimpik ini.

“Ini pertama kali dalam hidup saya hendak berikan hadiah kereta kepada bapa dan ini merupakan yang paling besar kerana sebelum ini saya hanya pernah berikan bag dan dompet sahaja,” katanya.

Bagi Aaron yang telah memiliki dua anak, beliau bercadang untuk menggunakan kenderaan lima tempat duduk itu sebagai pengangkutan utama keluarga kecilnya.

“Saya sudah berkeluarga, jadi saya mahu gunakannya untuk bawa anak jalan-jalan. Terima kasih kepada syarikat korporat kerana sudi menyediakan ganjaran sekali gus memberi semangat kepada kami,” katanya.

 


Pengarang :