Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada penerima ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rakyat dipelawa mohon skim insurans percuma, perlindungan hingga RM21,000

SHAH ALAM, 15 OGOS: Rakyat Selangor berusia seawal 30 hari hingga 80 tahun dipelawa memohon Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata polisi pelan perlindungan patuh syariah percuma itu berkuatkuasa dari 3 Ogos 2024 hingga 3 Ogos 2025.

Maklum MBI menerusi insurans takaful itu individu menerima perlindungan RM11,000 untuk kematian, kematian di luar negara (RM21,000), hilang upaya kekal (RM10,000) dan elaun RM50 sehari bagi kemasukan ke wad sehingga 30 hari.

“Dalam usaha berterusan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya terjamin, inisiatif perlindungan takaful yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri diwujudkan bertujuan memberikan perlindungan am meliputi kecederaan, kemalangan mahu pun kematian.

“Kriteria kelayakan termasuk mereka yang memiliki alamat kad pengenalan di Selangor, merupakan pengundi Selangor selain mempunyai kad pengenalan dengan kod negeri Selangor iaitu 10,41,42,43 dan 44.

“Untuk maklumat lanjut layari www.programinsan.com atau imbas kod QR di poster,” katanya.

Selangor satu-satunya negeri yang menawarkan skim percuma itu yang menjadi salah satu daripada lebih 40 inisiatif dalam Iltizam Selangor Penyayang yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dengan RM9 juta diperuntuk untuk perlindungan Skim Takaful.

Januari lalu, Kerajaan Negeri menyelesaikan tuntutan pampasan INSAN berjumlah RM998,000 sejak diperkenalkan pada 2022 melibatkan 91 tuntutan pelbagai kes kemalangan dan kematian.

Polisi takaful di bawah skim ini ditawarkan untuk tempoh aktif selama 12 bulan bermula tarikh polisi didaftarkan atau tamat pada 3 Ogos 2025 bagi individu yang mendaftar selepas 3 Ogos 2024.

 


Pengarang :