Persembahan pembukaan ketika Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Sarawak juara keseluruhan SUKMA 2024

KUCHING, 24 OGOS: Tuan rumah, Sarawak, mengesahkan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini dengan kelebihan sebutir emas mengatasi Wilayah Persekutuan, selepas mengharungi perebutan paling sengit dalam sejarah temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Kejayaan ini merupakan kali keempat selepas muncul juara edisi 1990, 1992 dan 1994 dengan mengumpul keseluruhan 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Wilayah Persekutuan, juara edisi 1986 (sebagai Kuala Lumpur) dan 2014, terpaksa akur sebagai naib juara dengan kutipan 75-65-72, diikuti Selangor (56-64-61), Pulau Pinang (41-45-52) dan Terengganu (41-36-47) untuk melengkapkan kedudukan lima teratas.

Wilayah Persekutuan bagaimanapun boleh berbangga apabila mencatat sejarah muncul juara acara bola sepak lelaki SUKMA buat kali pertama, apabila menewaskan Melaka 2-1 pada aksi final di Stadium Mukah sekali gus membawa pulang ‘ibu segala pingat’ itu.

Kedah pula meraih empat daripada 14 emas ditawarkan di sukan pelayaran hari ini; Terengganu dan Sabah masing-masing meraih tiga emas; tuan rumah dua emas manakala Selangor dan Pahang satu emas.

SUKMA 2024 yang mempertandingkan 488 acara daripada 37 jenis sukan dengan penyertaan lebih 12,000 atlet dan pegawai, menutup tirai secara rasmi, malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan upacara penutupan di Stadium Perpaduan di sini.

Pada majlis sama, perenang Selangor Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKMA 2024.

– BERNAMA


Pengarang :