EXCO Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Fahmi Ngah (tengah) bersama Pengarah Urusan SSDU Innovations Sdn Bhd, Ahmad Akmal Hamzah (kiri) dan pelawak Ajak Shiro pada Program Jelajah Saya Digital Setia Alam di Setia City Mall pada 25 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor perkasa industri dron, manfaatkan teknologi baharu

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pusat Kecemerlangan Dron (CoE) di Bestari Jaya, Kuala Selangor tidak hanya tertumpu kepada ujian pesawat udara tanpa pemandu, sebaliknya termasuk kawasan darat dan air.

Dikendali Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (Selati), pusat itu menurut EXCO pembangunan inovasi turut menumpukan sistem bacaan data dicerap dron bagi tindakan segera.

Dr Fahmi Ngah berkata kawasan sepanjang 24km dengan ketinggian udara empat kilometer itu juga antara yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama untuk memperkasa industri berkenaan.

“Pusat ini dibina dalam kawasan Universiti Selangor (Unisel) kerana kita berharap akan menarik minat ahli akademik. Kita mahu bangunkan industri lebih meluas dan manfaatkan teknologi baharu.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah (dua, kiri) melawat tapak pameran pada Program Jelajah Saya Digital Setia Alam di Setia City Mall pada 25 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Pada masa sama, kita bangunkan platform baharu seperti analisis data. Contohnya, kita dapat tahu tebing berisiko runtuh menerusi pemanduan dron dan boleh ambil langkah segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sembang Santai sempena siri Jelajah Saya Digital anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Setia City Mall, di sini hari ini.

Dr Fahmi menambah pusat ketiga yang dibangunkan itu menjadi kawasan pandu uji dron terbesar dimiliki Selangor, manakala dua lagi bawah persekutuan iaitu Area 57, Cyberjaya dan Mranti Park, Bukit Jalil.

Pada November 2021, Unisel memeterai memorandum persefahaman dengan Selati bagi membangunkan CoE berikutan kemudahan dan persekitaran strategik institusi itu dalam memacu industri tersebut.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan pentadbiran negeri menumpukan industri aeroangkasa dan dron bagi menggalakkan lagi nilai pelaburan, seterusnya memacu ekonomi.

Selain itu, Pameran Udara Selangor yang dianjur sejak 2021 menjadi landasan bagi mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan meneroka bidang tersebut.


Pengarang :