Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 22 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Seramai 2.72 juta rakyat Selangor labur ANSB, langgan lebih 72 bilion unit

SHAH ALAM, 22 OGOS: Seramai 2.72 juta rakyat Selangor melabur dalam unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), tertinggi di seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah pelabur itu membabitkan nilai langganan amanah saham lebih 72.06 bilion unit.

“Usaha PNB (Permodalan Nasional Berhad) mempromosi pelaburan unit amanah tepat pada masanya. Langkah berkongsi pendidikan kewangan dan pelaburan dengan rakyat di negeri ini perlu diteruskan setiap masa.

“Ia sudah pasti akan memanfaatkan segenap lapisan rakyat dari belia hingga dewasa, khususnya dalam merancang kewangan diri dan keluarga,” katanya dalam ucapan hari ini.

Beliau berucap pada majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

Amirudin berkata MSAM tahun ini yang menerapkan elemen  elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).dalam acaranya menepati usaha untuk melahirkan bakat holistik bagi pembangunan negeri dan negara.

“Saya amat sukacita apabila lihat elemen pendidikan seperti STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi) menjadi elemen teras dalam MSAM ini selari dengan apa yang terkandung dalam hasrat Kerajaan Negeri dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Setiap tahun kita peruntuk lebih RM20 juta hingga RM30 juta untuk program laksana Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan bagi program penggalakan TVET, matematik, sains dan teknologi,” katanya.

MSAM 2024 berlangsung bermula hari ini  hingga Ahad menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan membabitkan pengunjung bagi menarik penyertaan dari semua lapisan masyarakat.

Selain daripada aktiviti lazim berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, beberapa program unik tahun ini termasuk aktiviti pelengkap seperti Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri akan mempamerkan aktiviti serta pameran pendidikan pelaburan yang menarik pada MSAM 2024.


Pengarang :