Atlet tenis Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman meraih pingat emas dalam acara tenis akhir individu wanita ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Gelanggang Tenis SLTA, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Sharifah Elsa akhiri SUKMA dengan cemerlang, raih emas tenis individu wanita

KUCHING, 22 OGOS: Perjalanan karier pemain tenis muda Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir indah apabila menggondol emas acara individu wanita hari ini.

Dalam aksi akhir penuh mendebarkan di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching di sini, jaguh tenis berusia 21 tahun menewaskan Shihomi Li Xuang Leong dari Perak 6-1, 6-1.

Dia yang ditemui menyifatkan kerja keras untuk memburu pingat sasaran pada penampilan terakhir di temasya dwitahunan kebangsaan membuahkan hasil dan berpuas hati dengan pencapaian tersebut.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini, apatah lagi ini penampilan terakhir saya di SUKMA. Sememangnya saya perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan ini.

“Lawan saya pemain yang sangat handal, sudah tentu bukan mudah untuk bertarung dengannya. Tetapi saya fokus pada diri sendiri untuk mengutip mata demi mata,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli bergambar bersama pemenang acara tenis akhir individu wanita selepas menyampaikan pingat ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Gelanggang Tenis SLTA, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengalungkan pingat emas kepada Sharifah dan Xuang Leong yang meraih perak serta pemenang gangsa Anja Samia Nayar dari Terengganu.

Dalam pada itu, Sharifah memberitahu akan menghabiskan kalendar musim ini dengan menyertai beberapa siri kejohanan tenis profesional di Singapura dan Australia bagi memperbaiki kedudukan.

Atlet tenis Selangor, Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman beraksi dalam acara tenis akhir individu wanita ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Gelanggang Tenis SLTA, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kemungkinan bermula bulan depan akan kembali sertai kejohanan kerana saya perlu jalani proses pemulihan terlebih dahulu selepas berhempas-pulas di SUKMA.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang dalam perjalanan karier di SUKMA terutama jurulatih, ibu bapa dan semua yang datang beri sokongan,” katanya.

Penampilan sulung Sharifah di temasya sukan dwitahunan negara pada 2016 apabila berjaya meraih gangsa.


Pengarang :