AGENSISELANGOR

Siti Nurhaliza antara enam artis serikan sambutan kemerdekaan negeri

SHAH ALAM, 23 OGOS: Datuk Seri Siti Nurhaliza antara enam artis yang bakal menyerikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan, di sini pada 30 Ogos.

Menurut Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, lima lagi artis ialah Faizal Tahir, Roy, Poey Stings, Projektor Band dan kumpulan tarian Zeppo Youngsterz.

“Kemuncak kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri Selangor semakin hampir. Ayuh warga Selangor tonjolkan manifestasi semangat patriotisme anda!

“Saksikan juga pelbagai acara menarik dan persembahan artis terkenal tanah air pada 30 Ogos ini, jam 8 malam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,” katanya.

Pada 5 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri dengan pelbagai pengisian menarik.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, antara aktiviti dan program yang disediakan termasuk perarakan dan perbarisan, persembahan artis selain penyampaian anugerah kepada tokoh kemerdekaan.

Pada tahun ini, logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, dengan tema sambutan ‘Malaysia Madani – Jiwa Merdeka’.


Pengarang :