Pasukan pantun Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang, Madah Kencana ketika pertandingan Pesta Pantun Sekolah Rendah Negeri Selangor di SK Bandar Sunway, Semenyih pada 7 hingga 9 Ogos 2024. Foto SK Sijangkang
ADNSELANGOR

SK Sijangkang wakili Selangor ke pertandingan pesta pantun kebangsaan

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pasukan pantun Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang bakal mewakili Selangor ke Pertandingan Pesta Pantun Sekolah Rendah peringkat Kebangsaan pada 25 hingga 28 Ogos ini.

Guru yang juga jurulatih pasukan, Azliza Nordin berkata pasukan yang diberi nama Madah Kencana dibarisi lima murid darjah enam sekolah berkenaan.

Menurutnya, peserta terlibat ialah Ahmad Hadif Firas Ahmad Ezani, Nur Fathiah Afrina Shafbari, Nursyafiqah Zamari, Muhammad Aisy Arfan Muhammad Afif dan Muhammad Zulhifzi Mohamad Jamahari.

“Semua peserta berasa sangat teruja dan tidak sabar untuk ke Terengganu bagi menyertai pertandingan tersebut dan pada masa sama debaran juga semakin terasa.

“Walaupun sudah tiga kali juara di peringkat negeri tetapi persediaan dan latihan secara konsisten tetap perlu dilaksana bagi memastikan kita berjaya merangkul juara di peringkat kebangsaan,” katanya ketika dihubungi.

Azliza menjelaskan persiapan dan latihan pasukan Madah Kencana untuk ke pesta pantun kali ini sudah bermula sejak April lalu bagi memastikan semua peserta benar-benar bersedia.

“Semakin hampir ke hari pertandingan, latihan dilaksanakan setiap hari pagi, petang dan malam. Antara latihannya adalah teknik menjawab pantun, penggunaan bahasa indah dan pemantapan persembahan individu.

“Insya-Allah, kita harap kejayaan milik pasukan Madah Kencana, SK Sijangkang dan Selangor khasnya. Kami mohon doa semua agar peserta ini dapat buat yang terbaik,” katanya.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang Datuk Zurihan Yusop

Untuk rekod, pasukan Madah Kencana berjaya memenangi tempat ketiga pesta pantun peringkat kebangsaan pada tahun lalu dan tiga kali berturut-turut juara peringkat negeri.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang Datuk Zurihan Yusop mengucapkan tahniah kepada pasukan Madah Kencana kerana berjaya membawa nama Selangor ke peringkat kebangsaan.

“Saya percaya dengan kebolehan peserta ini meski baharu sahaja darjah enam tetapi sudah mampu menguasai laras bahasa tinggi dan indah.

“Insya-Allah, kejayaan milik SK Sijangkang dan Selangor. Selamat berjaya saya ucapkan,” katanya.


Pengarang :