Ketua Polis Johor CP M Kumar. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Suami isteri antara tujuh individu ditahan, dadah lebih RM10 juta dirampas

JOHOR BAHRU, 19 OGOS: Tujuh individu termasuk suami isteri ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10 juta dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata suspek lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 22 hingga 38 tahun itu ditahan antara 12.30 tengah hari dan 2 petang.

“Modus operandi sindiket edar dadah yang aktif beroperasi sejak Mei tahun ini ialah menjadikan rumah berpagar dan berpengawal sebagai tempat pemprosesan serta pembungkusan dadah jenis serbuk ekstasi untuk pasaran tempatan.

“Dalam operasi ini, 59,627 gram serbuk ekstasi, 93.4 gram ketamin, 263 biji pil ekstasi, 380 biji pil eramin 5 dan 41 gram ganja dirampas dengan nilai rampasan berjumlah RM10,001,122,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menyita pelbagai barangan antaranya empat kereta, sebuah motosikal, pelbagai barangan kemas serta wang tunai mata wang tempatan dan asing dengan nilai RM235,257.

“Keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan sitaan bernilai RM10.23 juta. Ini merupakan jumlah rampasan dadah kedua tertinggi di Johor, tahun ini,” katanya sambil menambah dadah itu boleh digunakan 199,644 penagih.

Kumar berkata semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian urin menunjukkan enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.

Beliau berkata tempoh reman suspek disambung hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut memaklumkan polis kini giat memburu dalang sindiket itu yang dikenal pasti sebagai Lo Show Shang, 36, beralamat di Taman Perling di sini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Kumar berkata polis Johor telah merampas 3.45 tan dadah bernilai RM52.09 juta susulan penahanan 16,241 suspek pelbagai kesalahan dadah dari 1 Januari hingga Sabtu lalu.

– BERNAMA

 


Pengarang :