SHAH ALAM, 14 OGOS: Selangor meraih pingat emas pertama Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak menerusi atlet wushu wanita dalam acara taijijian, hari ini.
Mandy Cebelle Chen meraih pungutan mata tertinggi 9.603 mengalahkan 18 lagi pencabarnya dalam acara yang berlangsung di Dewan Wushu Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Acara itu turut menyaksikan atlet tuan rumah, Carmen Jia Min Chaw memperoleh pingat perak dengan pungutan mata 9.530, diikuti atlet Wilayah Persekutuan, Kwan Yong Xin dengan jumlah mata 9.490.
Mandy, 21, berpeluang menyumbang satu lagi pingat untuk kontinjen negeri dalam acara akhir wushu taijiquan yang dijadual berlangsung esok.
Wushu, sukan bela diri berasal dari China menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula hari ini di temasya SUKMA 2024.
Sebanyak 37 jenis sukan dipertandingkan dalam sukan dwitahunan itu sehingga 24 Ogos ini, dengan perasmiannya dijadual pada Sabtu di Stadium Sarawak, Kuching.