AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024: Wilayah Persekutuan bolot dua emas kabaddi

KUCHING, 23 OGOS: Wilayah Persekutuan mendominasi sukan kabaddi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila membolot kedua-dua emas yang ditawarkan dalam sukan tradisi India itu.

Selepas mengesahkan emas dalam kategori wanita semalam, kontinjen WiPERS turut muncul juara dalam kategori lelaki menerusi kelebihan satu mata, hari ini.

Pada aksi final di Dewan Masyarakat Lundu, skuad Wilayah Persekutuan menewaskan Selangor dengan keputusan 35-34 selepas saingan sengit untuk meraih emas.

Sementara itu, Sarawak meraih gangsa selepas mengatasi Perak 38-36 pada penentuan tempat ketiga-keempat.

Terdahulu, pada separuh akhir, Selangor mengatasi Perak 41-38 manakala Wilayah Persekutuan menang tipis 40-38 ke atas tuan rumah.

Bagi saingan wanita yang diadakan secara liga, Wilayah Persekutuan mengekalkan rekod tanpa kalah untuk muncul juara dengan 18 mata selepas melengkapkan enam aksi, manakala Selangor (15 mata) dan Perak (sembilan mata) masing-masing memperoleh perak dan gangsa.

– BERNAMA


Pengarang :