Acara MTB Campuran Berganti-ganti Berpasukan Merentas Desa. Foto Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak
AGENDANASIONAL

SUKMA: Acara berbasikal tutup tirai, Kedah rangkul dua emas

KUCHING, 22 OGOS: Kedah mendominasi hari terakhir saingan berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila merangkul dua pingat emas berbasikal bukit (MTB) acara Rentas Desa Olimpik di Bukit Siol di sini.

Pada perlumbaan kategori individu wanita, Kedah menyapu semua pingat dipertandingkan menerusi Phi Kun Pan yang menamatkan kayuhan emas dengan catatan 1 jam 21 minit 12 saat (s), mengatasi rakan sepasukan Nurul Nabilah 1:25:38s untuk perak manakala Nur Fitrah Shaari gangsa (1:25:54s).

Penguasaan Kedah diteruskan menerusi gandingan Phi Kun, Nur Fitrah, Ammar Yasir dan Muhammad Aiman Supri yang membutirkan emas acara berganti-ganti campuran.

Kuartet Kedah itu mencatat 1:07:57s mengetepikan cabaran pasukan Johor yang meraih pingat perak (1:14:20s) manakala Sabah terpaksa berpuas hati dengan gangsa setelah merekod masa 1:24:00s.

Sementara itu, pelumba Perak Muhammad Syawal Mzalin mengatasi dua pelumba Terengganu untuk merangkul pingat emas acara Rentas Desa Olimpik individu lelaki selepas merakam 1:18:28s.

Pingat perak dimenangi Muhammad Syawal Mazlin dengan catatan 1:22:35s manakala Muhammad Effan Wafiy Nor Effandy meraih gangsa setelah menamatkan perlumbaan dalam masa 1:27:35s.

Acara berbasikal yang bermula 14 Ogos lepas menawarkan keseluruhan 15 pingat emas.

Terengganu dan Kedah masing-masing merangkul lima emas, Perak (dua) manakala Johor, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing satu emas.

– BERNAMA


Pengarang :