AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA hari empat: 719 atlet Selangor, pegawai sertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 706 atlet Selangor dan 213 pegawai menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 malam ini.

Atlet lompat kijang Selangor Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi yang pernah menyertai Sukan SEA 2023 diberi penghormatan pemegang bendera Selangor pada acara itu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi mengetuai kontinjen negeri pada acara perasmian temasya sukan berprestij negara yang berlangsung gilang-gemilang di Stadium Sarawak dekat sini.

Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR

8 malam: Pasukan kriket lelaki Selangor mara ke peringkat separuh akhir saingan T20 Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menutup aksi liga sepusingan dengan kemenangan hari ini.

Pada aksi di Padang Kriket & Ragbi Petra Jaya di sini, Selangor tidak berdepan masalah menundukkan Sabah dengan kelebihan lapan wiket.

Selangor akan bertemu Kelantan di pentas separuh akhir esok.

7 malam: Acara Kumite individu 55 kilogram (kg) wanita menyumbang emas keempat Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Srikah Ganesh menewaskan Adeola Fay Robert dari Sabah ketika perlawanan di Dewan IKBN Miri Sarawak bermula jam 5.30 petang tadi.

Sementara itu acara Kumite individu 55kg lelaki menyumbang pingat gangsa pertama Selangor yang dirangkul Jeevesh Baskaran.

6 petang: Pasukan Gimnastik Berirama Selangor meraih pingat perak dalam acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Pingat emas dimenangi Wilayah Persekutuan sementara gangsa milik Negeri Sembilan.

4 petang: Selangor tewas 2-1 dengan Wilayah Persekutuan dalam perlawanan bola tampar lelaki dalam pusingan awal Kumpulan B.

Aksi pemain bola tampar lelaki di SUKMA Sarawak pada 17 Ogos 2024. Foto Facebook Jabatan Penerangan Sarawak

2 petang: Pasukan bola keranjang Selangor menewaskan Melaka dengan keputusan 79-68 dalam perlawanan peringkat kumpulan di Stadium MBKS Pending.

Selangor juga menang 5-0 ke atas Sabah bagi acara badminton dan pasukan sofbol wanita Selangor menang 9-1 ke atas Wilayah Persekutuan. Manakala pasukan lelaki tewas 1-10 ke atas Johor.

Aksi atlet sofbal wanita Selangor ketika menjalani latihan. Foto Facebook MSN Selangor

12 tengah hari: Selangor meraih pingat perak dalam acara sepak takraw berpasukan lelaki. Emas dimenangi Pulau Pinang, Terengganu menang gangsa selepas menewaskan Melaka 2-1 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Atlet sepak takraw Selangor. Foto MSN Selangor

9 pagi: Selangor menyasarkan mengutip empat emas pada hari keempat temasya SUKMA hari ini.

Pingat berkenaan menerusi Yong Meng Keat dalam acara berbasikal, menembak berpasukan lelaki dan sukan karate menerusi G Srikah (wanita) dan B Jeevesh (lelaki).

Semalam, Selangor berada di tangga keenam dengan kutipan tiga emas dan lima perak.


Pengarang :