Pelari jarak jauh Selangor Esther Joy Hong Li Chen. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA Hari Ke-11: Esther Joy tambah koleksi emas ketiga peribadi

SHAH ALAM, 22 OGOS: Sebanyak 72 pingat emas dipertandingkan membabitkan 16 acara pada hari ke-11 Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, hari ini.

Selangor menyasar memperoleh 15 emas menerusi acara tenis, silambam, lawan pedang, tinju, judo, memanah, gimnastik artistik dan ragbi.

Tumpuan turut diberikan Selangor kepada acara olahraga, akuatik dan bola sepak bagi menambah emas sekali gus mencapai sasar berada di tangga tiga teratas sebelum temasya melabuhkan tirainya pada 24 Ogos ini.

Setakat malam tadi, Selangor di tangga keempat dalam carta keseluruhan pingat dengan kutipan 27 emas, 41 perak dan 31 gangsa.

Berikut perkembangan semasa SUKMA Sarawak hari ini:

8.43 malam: Hazman Iskandar Zulkifli Siew menewaskan Lam Wee Liang dari Sarawak dalam acara Lightweight 57-60kg sekali gus menyumbang pingat emas ke-40 buat Selangor.

8 malam: Lawan pedang berpasukan lelaki Selangor meraih pingat gangsa, emas dimenangi Sarawak dan pingat perak milik Wilayah Persekutuan

7.20 malam: Atlet gimnastik artistik wanita individu Cadence Zi Qi Teh menyumbang emas ke-39 buat Selangor. Pingat perak dimenangi Wilayah Persekutuan dan gangsa milik tuan rumah, Sarawak.

7.15 malam: Beregu campuran ping pong Selangor Hui Qi Hun, Yong Li Yi menang emas dengan jumlah skor 3 dalam perlawanan dengan Wilayah Persekutuan.

7.10 malam: Pasukan renang berganti-ganti gaya bebas 4×200 meter(m) lelaki Selangor melakar kejayaan bermakna apabila meraih emas menerusi acara itu dengan catatan 7:37.51 saat(s).

Pasukan renang berganti-ganti gaya bebas 4×200 meter(m) lelaki Selangor. Foto Zareef Muzammil / Media Selangor

Perenang terdiri daripada Henry Goh Li Hen, Aslan Adnan, Yew Jien Loke dan Jayden Goh Li Jie turut memadam rekod SUKMA 2018 yang disandang Wilayah Persekutuan (7:40.17s).

7 malam: Kuarter renang menyumbang emas ke-36 buat Selangor menerusi acara berganti-ganti gaya bebas 4×200 meter(m) wanita sebentar tadi.

Pasukan dibarisi Khew Zi Xian, Yan Qin Shannon, Jia Jia Yoong dan Shu Qi Lim mencatat masa 8:45.45 saat(s) mengatasi tuan rumah Sarawak.

6.30 petang: Pelari jarak jauh Esther Joy Hong Li Chen menyumbang emas ke-35 buat Selangor  dalam aksi akhir 10,000m di Stadium Sarawak, Petra Jaya, sebentar tadi.

Atlet yang berusia 21 tahun itu muncul yang pertama tiba di garisan penamat dengan catatan 40 minit 37.98 saat sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraannya dengan menyambar emas ketiga peribadi.

Pelari jarak jauh Selangor Esther Joy Hong Li Chen. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

6.19 petang: Andrew Goh terus melebarkan penguasaannya di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching apabila membolot emas acara 200 meter(m) kuak dada individu lelaki sebentar tadi dengan catatan 2:16.40 saat(s).

Lebih manis, perenang berusia 21 tahun itu turut memadam rekod Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang dipegang Ng Jing Fu dari Selangor (2:17.47s).

Perak acara berkenaan dimenangi atlet Melaka iaitu Joseph Kai Xiang Chan sementara Yu Xiang Cham dari Wilayah Persekutuan (gangsa).

6.10 petang: Khoo Sue Enn menghadirkan emas ke-33 buat kuartet renang Selangor menerusi acara 200 meter(m) kuak dada individu wanita.

Sue mencatat masa 2:37.93 saat(s) dalam aksi di Pusat Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching. Seorang lagi perenang Selangor Low EE Mang yang beraksi dalam acara sama merangkul gangsa dengan catatan 2:40.10s.

6 petang: Jayden Goh Li Jie mengakhiri saingan 100 meter(m) kupu-kupu individu lelaki dengan catatan 55.68 saat(s) untuk menggenggam perak.

Pencabar terdekat Bryan Leong Xin dari Wilayah Persekutuan memenangi emas acara itu dengan 53.22s, meleburkan rekod SUKMA 2016 yang disandang perenang Selangor Chan Jie.

5.35 petang: Perenang Selangor Lim Shun Qi menghadiahkan emas ke-32 menerusi acara 100 meter(m) kuak kupu-kupu individu wanita sebentar tadi dengan catatan 1:01.84 saat(s)

Rakan sepasukannya Morgan Kai Cheng Eleven meraih perak dengan 1:04.07s manakala Loke Charlotte dari Wilayah Persekutuan (gangsa).

Atlet renang Selangor Lim Shun Qi

5.20 petang: Acara renang 400 meter(m) gaya bebas individu lelaki di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching turut menyaksikan atlet Selangor Henry Goh Li Hen meraih perak.

Perenang itu mencatat 4:06.40 saat(s) di belakang atlet renang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry yang memenangi emas manakala Lai Samuel Chon dari Pulau Pinang (gangsa).

5 petang: Perenang Selangor Khew Zi Xian menyumbang pingat perak acara 400 meter(m) gaya bebas individu wanita dengan mencatat 4:34.26 saat(s) sebentar tadi.

Emas milik Teo Kelly Yao dari Sarawak yang merekodkan masa 4:31.85s dan gangsa Chu Xin Ying (Sabah)

4.40 petang: Pasukan Selangor raih emas acara ragbi tujuh sebelah kategori wanita menewaskan Sarawak dalam aksi akhir di Stadium Miri, Sarawak

Sementara Johor ungguli kategori lelaki menewaskan Terengganu di venue sama.

4.10 petang: Atlet Kelantan Muhammad Fakrul Afizul Nasir melebur rekod kebangsaan olahraga dengan catatan 51.11 saat (s) acara 400 m lari berpagar lelaki, memadam rekod miliknya 51.26s, yang dilakukan tahun lepas.

3.05 petang: Pemain Selangor Chua Kim Sheng menewaskan wakil Melaka Soh Ping Chuan 21-8, 21-16 dalam pusingan 16 acara perseorangan lelaki badminton.

Perseorangan Wanita K Letshanaa turut menang pusingan 16 mengatasi wakil Terengganu Sarah Ngu Xian Meow 21-11, 21-5 diikuti kejayaan Siti Nurshuhaini Azman menewaskan Lim Shin 21-13, 21-14.

Dalam aksi beregu, gandingan Lok Hong Quan-Muhammad Faiq Haziq Masawi bangkit pada set kedua dan ketiga untuk menewaskan pasangan Kedan Kok Jia Cheng-Loh Zi Heng.

Acara ragbi 7 sebelah pula menyaksikan pasukan wanita Selangor akan menentang Sarawak dalam penentuan pingat emas acara berpasukan.

2.30 petang: Atlet Sarawak Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin-Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj meraih emas acara 3m papan anjal seirama wanita.

Sementara pingat perak menjadi milik Celeste Lee Qin-Ong Jia Le (Wilayah Persekutuan) dan gangsa Cecelia Olivia Christopher Leoneil-Siti Nurul Jannah Malik (Perak).

1.45 tengah hari: Wilayah Persekutuan meraih pingat emas acara ping pong berpasukan campuran selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, Kuching.

1.00 tengah hari: Pasukan silambam Selangor menambah satu lagi pingat emas menerusi kategori poruthal lelaki 65-75 kg di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching.

Mahendran Manimaran berjaya tampil dengan aksi cemerlang untuk menewaskan pencabarnya Githan Kathiresan dari Pulau Pinang dengan mata 31-18.

12:20 tengah hari: Pemain tenis muda Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman menewaskan Shihomi Li Xuang Leong dari Perak untuk memenangi emas acara individu wanita.

Pemain berusia 21 tahun itu menang 6-1, 6-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama para pemenang dalam acara tenis perseorangan individu wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di gelanggang tenis Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Kuching pada 22 Ogos 2024.
Atlet tenis Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman meraih pingat emas, menakala perak dimenangi atlet Perak Shihomi Li Xuan Leong dan gangsa diraih atlet Terengganu Anja Samia Nayar. Foto BERNAMA

12:00 tengah hari: Atlet Selangor Luthrabalan Parsuraman membawa pulang pingat emas dalam kategori poruthal lelaki bawah 55 kg.

Dalam aksi akhir yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre di sini, Luthrabalan memperoleh 27 mata menewaskan atlet tuan rumah Asyraff Aqil Mohamad Zainurrin Azm yang hanya meraih 16 mata.

Atlet Selangor Luthrabalan Parsuraman memenangi pingat emas dalam acara silambam kategori poruthal lelaki bawah 55 kg di Hikmah Exchange Event Centre hari ini. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

11:40 pagi: Kedah tambah satu pingat emas acara angkat berat menerusi Nur Syazwani Radzi dalam kategori wanita 64 kg

11.18 pagi: Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin dari Pahang menang acara baling tukul besi wanita

11.05 pagi: Atlet Pulau Pinang, Sriven Tan rangkul emas acara lumba jalan kaki 10,000 meter lelaki

10.30 pagi: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menonton perlawanan akhir tenis Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching.

Perlawanan akhir individu wanita membabitkan jaguh muda Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman, 21, dan Shihomi Li Xuang Leong (Perak) sedang berlangsung sebaik ketibaan Tengku Amir Shah.

Pada aksi separuh akhir semalam, Sharifah membenam cabaran Nao Ziyi Phang dari Wilayah Persekutuan 6-0 dan 6-1 untuk melangkah ke pusingan akhir.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menonton perlawanan akhir tenis Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

10.18 pagi: Pelari jarak jauh Wilayah Persekutuan, Kristian Tung sambar emas peribadi ketiga, ungguli acara 5,000 meter

9.40 pagi: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan pertandingan akhir acara silambam lelaki di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching.

Keberangkatan tiba Baginda pada 9.30 pagi diiringi EXCO Sukan Najwan Halimi bagi menyaksikan atlet Selangor Mahendran Manimaran bersaing dalam kategori poruthal 65-75 kg lelaki manakala Luthrabalan Parsuraman bawah 55 kg lelaki.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyaksikan pertandingan akhir acara silambam lelaki di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

9.00 pagi: Jaguh renang Selangor Andrew Goh Zhe Yeng mencongak strategi untuk meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) kuak dada individu lelaki petang ini.

Temasya kali ini menyaksikan Andrew memecahkan rekod kebangsaan menerusi acara 50 m kuak dada lelaki, semalam dan 100 m kuak dada pada 19 Ogos.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan bergambar dengan atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng selepas mengalungkan pingat emas acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :