EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi (tengah) bergambar bersama atlet golf dan pegawai Selangor selepas Selangor memenangi satu emas dan dua perak ketika Sukan Malaysia ke-19 (SUKMAXXI) di Kelab Golf Sarawak, Kuching pada 18 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

SUKMA Hari Ke-8: Selangor lonjak kedudukan keempat, enam emas diperoleh

SHAH ALAM, 19 OGOS: Selangor melonjakkan kedudukannya pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ke tangga keempat hari ini berbanding ketujuh sebelum ini.

Kejayaan itu hasil kegigihan atlet Selangor meraih enam pingat emas hari ini antaranya menerusi acara renang 100 meter (m) lelaki dimenangi Andrew Goh.

Turut mengiringi kejayaan adalah olahraga 100m dan 5,000m wanita digondol Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal dan Esther Joy Hong Li Chen. Juga karate kumite berpasukan wanita.

Tenpin boling wanita Selangor pula mengalahkan Sabah di kedudukan kedua dan Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Pasukan Boling Padang campuran turut meraih emas sekali gus memadam harapan pasukan tuan rumah.

Dalam pada itu 12 pingat perak berjaya digenggam atlet negeri, antara pingat baling banyak diraih melalui acara renang dan olahraga.

Manakala lapan pingat gangsa berjaya dikumpulkan bermula dengan Teban Raj menerusi acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki pagi tadi.

Esok, lima lagi pingat emas disasar Selangor antaranya silat, muay Thai, olahraga, akuatik dan sepak takraw.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata banyak acara mempunyai prospek emas buat kontinjen negeri akan berlangsung dalam tempoh beberapa hari sebelum temasya dwitahunan itu melabuhkan tirai.

“Mudah-mudahan mereka dapat tingkatkan usaha untuk menambah baik prestasi sepanjang seminggu ini. Kita berfikiran positif dan optimis capai 61 emas seperti diunjurkan,” katanya pada 18 Ogos.


Pengarang :