AGENDAJENAYAH

Suri rumah ditemukan maut dalam bilik tidur dengan kesan jerutan leher

KUANTAN, 15 OGOS: Suri rumah ditemukan maut dengan kesan jerutan di leher di kediamannya di Indera Mahkota di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata wanita berusia 28 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur rumahnya oleh suami mangsa kira-kira 7.30 malam tadi.

“Sebelum itu, bapa mangsa membuat satu laporan polis berhubung kehilangan wanita berkenaan pada 3.25 petang semalam.

“Pengadu membuat laporan selepas mangsa gagal dihubungi dan kali terakhir berhubung melalui pesanan Whatsapp pada 8.30 pagi hari sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata mangsa tinggal bersama suami warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik ipar perempuan berumur lapan tahun.

Wan Mohd Zahari berkata mayat dibawa ke unit forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mangsa dipercayai dibunuh dalam rumah oleh suspek dengan menjerut leher si mati. Susulan ini, polis menahan reman tiga lelaki dan seorang perempuan berumur 27 hingga 62 tahun yang juga ahli keluarga mangsa untuk disoal siasat. Reman bermula hari ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :