SUBANG JAYA, 14 OGOS: Syarikat kosmetik DASC International Sdn Bhd dinobat sebagai juara program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire edisi kelima, hari ini.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menyampaikan anugerah kepada pengasas yang juga pengarah urusan produk Dr Anne Skin Care Dr Nurhidayah Roslan dalam satu majlis di Hotel Sunway Resort & Spa, di sini.
Tengku Amir Shah turut menyampaikan anugerah kepada pemenang tempat kedua, Citra Kesom Sdn Bhd dan Skinny Bakers Group Sdn Bhd (tempat ketiga).
Ketiga-tiga pemenang menerima ganjaran berdampak tinggi antaranya termasuklah tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk promosi dan rundingan niaga.
Mereka juga bakal menerima bimbingan khas, reruai dan sesi rangkaian perniagaan selain berpeluang menjalinkan kolaborasi dengan agensi berkaitan.
Sementara itu, syarikat ubat gigi Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd dan penjual pakaian solat segera, Zaahara Ventures Sdn Bhd dipilih sebagai penerima anugerah khas.
Terdahulu Tengku Amir Shah berkenan mengetuai proses penjurian yang melibatkan 10 peserta akhir bersama beberapa individu lain termasuk EXCO Keusahawanan Najwan Halimi.
SAY Aspire merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpontensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.
Program yang dianjurkan sejak 2018 terbuka kepada syarikat yang beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur antara 18 hingga 40 tahun dan tidak diisytiharkan muflis atau disenarai hitam.
Tahun ini program yang berlangsung sejak Januari melibatkan penyertaan 30 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana sebelum 10 syarikat layak ke peringkat akhir.