Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengumumkan jangkitan cacar monyet sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa pada 23 Julai 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Thailand sahkan kes cacar monyet libatkan pesakit dari Eropah

BANGKOK, 23 OGOS: Jabatan Kawalan Penyakit Thailand semalam mengesahkan kes mpox yang dilaporkan minggu ini adalah strain clade 1b virus itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Thongchai Keeratihuttayakorn, mendedahkan keputusan makmal Jabatan Sains Perubatan mengesahkan kehadiran strain clade 1b mpox pada pesakit Eropah berusia 66 tahun.

“Ini adalah pesakit pertama di Thailand. Mulai sekarang, keputusan itu perlu dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengikut piawaian IHR,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, jabatan itu melaporkan bahawa pesakit Eropah itu disahkan menghidap mpox selepas dia melakukan perjalanan dari sebuah negara Afrika yang terdapat wabak mpox, dan kemudiannya transit di negara Timur Tengah sebelum tiba di Thailand pada 14 Ogos jam 6 petang.

Pesakit mengalami demam dan mendapati lesi kulit pada 15 Ogos, menyebabkannya mendapatkan rawatan perubatan, dengan ujian seterusnya mengenal pasti mpox sebagai puncanya.

Dr Thongchai berkata daripada 43 kontak rapat pesakit berkenaan, tiada yang menunjukkan sebarang gejala setakat ini.

“Jabatan Kawalan Penyakit akan terus memantau dan membuat susulan simptom sehingga 21 hari,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada 14 Ogos.

– BERNAMA


Pengarang :