Wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima insentif pelajar cemerlang SPM dan STPM tahun lalu di hadapan Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 22 Ogos 2024. Foto Facebook Pusat Khidmat ADUN Kuala Kubu Bharu
ADNSELANGOR

Wakil rakyat KKB agih RM24,050 kepada 112 pelajar cemerlang SPM, STPM

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak RM24,050 diagihkan kepada 112 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu (KKB).

Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata sumbangan insentif itu membabitkan 106 pelajar SPM yang mendapat keputusan 5A dan ke atas, manakala bakinya enam pelajar STPM dengan keputusan 4A dan purata nilai gred (PNGK) 3.75 ke atas.

“Pelajar yang mendapat 5A dalam SPM menerima RM100, 6A (RM150), 7A (RM200), 8A (RM250), manakala pelajar yang mendapat 9A dan 10A masing-masing menerima RM300 dan RM350.

“Sebanyak RM21,650 diberi kepada 106 pelajar SPM, manakala RM2,400 diagih kepada enam pelajar cemerlang STPM, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran sebanyak RM24,050,” katanya di Facebook.

Menurut Sock Tao, pemberian insentif kepada pelajar cemerlang di KKB merupakan program tahunan, namun permohonan pada tahun ini meningkat dua kali ganda.

Jelasnya, program berkenaan hanya mengenakan syarat mudah iaitu salah seorang ibu bapa merupakan pengundi di KKB, menjadi faktor utama penyertaan yang tinggi.

“Saya sendiri datang dari keluarga sederhana, sebab itu saya memutuskan untuk menggunakan peruntukan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar terus berusaha dalam akademik,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini sejajar dengan prinsip keadilan Malaysia Madani, yang memberi manfaat kepada semua kaum yang layak.

“Saya akan memastikan peruntukan digunakan sebaik mungkin supaya lebih ramai pengundi dapat menerima manfaat,” katanya.


Pengarang :