SHAH ALAM,14 OKT: Lebih 3,000 pengunjung memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena ulang tahun ke-24 bandar raya itu , semalam.
Bertempat di Dataran Kemerdekaan di sini, pelbagai aktiviti menarik berlangsung sepanjang program antaranya termasuklah kayuhan santai, bazar belia, saringan kesihatan percuma dan persembahan kombo MBSA.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, lebih 100 pengunjung juga diberi minuman Farm Fresh secara percuma selain pengunjung berpeluang menyemak dan membayar cukai taksiran atau kompaun di Pejabat Bergerak Shah Alam on Wheels (SAOW).
MBSA turut menganjurkan Hari Mesra, platform orang ramai menyalurkan aduan dan permasalahan berlaku di kawasan mereka sekali gus mempertingkatkan sistem penyampaian MBSA kepada komuniti.

Dalam program berkenaan, kanak-kanak teruja mengikuti aktiviti mewarna, memanah, panjat tembok selain membaca di pustaka bergerak dan acara kraf di Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA.
Terdahulu, acara pelepasan larian disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim. Turut hadir, Pemangku Timbalannya Madiyan Baweh.
