SHAH ALAM, 9 MAC: Umat Islam yang membaca dan menghafal surah Al-Mulk akan menerima syafaatnya yang besar termasuk mendapat pengampunan Allah SWT.
Pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid berkata itu juga harapan Rasulullah SAW selain Baginda mahu surah terbabit ada dalam setiap hati umatnya.
“Sebab apa? Ada empat sebab kerana surah ini jadi harapan nabi untuk umatnya baca dan hafal.
“Pertama sebab ia bersyafaat kepada si pembaca. Kedua sebab keampunan, ketiga akan jadi penghalang dari azab dan murka Allah dan keempat jadi peneman di alam barzakh,” katanya.
Mengupas ayat pertama surah berkenaan pada program 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan, beliau berkata Al-Mulk akan mencegah pembacanya dari azab kubur.
“Sebab itu Rasulullah SAW baca surah ini setiap malam. Dalam beberapa hadis Baginda bersabda bagi sesiapa yang membaca akan diampunkan dosa dan diberikan syafaat,” katanya.
Sementara itu Dato’ Seri Amirudin Shari berkata surah yang terkandung 30 ayat itu memiliki fungsi dan tugas untuk mengukuhkan keimanan.
“Ia turut menceritakan perancangan jahat terhadap Rasulullah SAW. Surah ini jadi pendinding kepada pembacanya,” katanya.
Terdahulu ayat pertama surah berkenaan dibacakan qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 Farhatul Fairuzah Panut.
Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah mulai 1 Ramadan dimulai dengan kupasan Surah Al-Fatihah.
Surah Al-Mulk bukan sekadar sebuah surah biasa, tetapi memiliki keistimewaan dan makna yang besar dalam kehidupan seorang Muslim. Rasulullah SAW menganjurkan umatnya untuk membaca dan menghafalnya kerana kelebihan besar yang dimilikinya.
Dalam episod ke-8 30 Hari 30 Ayat, kita… pic.twitter.com/QFc2Gdp8GA
— Media Selangor (@Media_Selangor) March 9, 2025