SHAH ALAM, 28 MAC: Beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri, peniaga diingatkan tidak menaikkan harga terutama 23 barang kawalan yang ditetapkan kerajaan.
EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata peniaga yang ingkar terhadap arahan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 akan dikenakan tindakan tegas.
“Setakat ini kita lihat peniaga menjual ikut harga ditetapkan. Jadi mana-mana pelanggan yang mendapati harga barNg terlalu tinggi boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
“Sempena perayaan ini kita tidak mahu rakyat terbeban dengan harga barang. Kita mahu rakyat dapat membeli keperluan dengan mudah,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam masa sama beliau meminta masyarakat memanfaatkan program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di 25 lokasi bagi membeli keperluan pada harga murah.
“Ada pelbagai barangan dijual dengan harga berpatutan. Penduduk boleh pergi ke lokasi berhampiran,” katanya.
Sempena Aidilfitri ini, pentadbiran menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri selama sembilan hari sehingga Sabtu ini melibatkan subsidi berjumlah RM376,000.
Program dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, KoHijrah Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Selangor dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 pembeli.