SHAH ALAM, 10 MAC: Allah SWT lebih suka umatnya yang melaksana amal ibadah dengan penuh ikhlas, tekun dan istiqamah berbanding mereka yang mengejar kuantiti, jelas pendakwah bebas.
Mengupas ayat dua hingga enam surah al-Mulk, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid berkata ayat itu merujuk betapa pentingnya umat Islam melakukan ibadah yang berkualiti.
“Surah ini juga mencerita kehebatan Allah SWT dalam membentuk ciptaan-Nya yang tiada siapa boleh tandingi. Allah cipta manusia dan kehidupan.
“Tidak ada siapa mahupun dalam kalangan raja, jin yang boleh menghidupkan dan mematikan. Menariknya ayat ini Allah SWT cipta mati kemudian hidup walaupun manusia itu hidup dahulu kemudian meninggal dunia.
“Allah mahu ingatkan manusia destinasi hidup adalah menuju kepada kematian yang merupakan permulaan hidup sebenar. Jadi, orang cerdik adalah yang memikir apa dihasilkan lepas kematian,” katanya.

Mengupas ayat kedua hingga enam surah berkenaan pada program 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan, beliau berkata Allah SWT turut menceritakan kekuasaan-Nya termasuk mencipta langit dan bumi dengan tujuh lapisan.
“Allah SWT ceritakan apa di langit dan bawah langit. Tujuannya untuk kita bertafakur,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ayat ke enam surah terbabit menjelaskan mereka yang kufur akan berdepan azab sangat pedih dan kembali ke seburuk-buruk tempat.
Terdahulu ayat berkenaan dibacakan qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 Farhatul Fairuzah Panut.
Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari , Media Selangor dan TV Al-Hijrah mulai 1 Ramadan dimulai dengan kupasan surah al-Fatihah.
Berikut episod sebelum ini:
- Episod 1: Surah Al-Fatihah himpunan keseluruhan kandungan al-Quran
- Episod 2: Surah Al-Fatihah penting, perakuan sebagai hamba Allah SWT
- Episod 3: Konsep kasih sayang perlu terus diamal, hindar sifat benci
- Episod 4: Perhitungan akhirat, syurga, neraka
- Episod 6: Doa zahir sifat kehambaan
- Episod 7: Golongan dimurkai, sesat tidak rasai nikmat Allah
- Episod 8: Al-Mulk miliki nikmat besar, halang azab dan murka Allah
@amirudinshari 📖 Surah Al-Mulk, Ayat 2-6 Kehidupan dan kematian adalah ujian terbesar bagi manusia. Allah SWT mencipta dunia sebagai tempat ujian untuk menilai siapakah yang terbaik amalannya. Dalam episod ke-9 ini, kita akan mendalami bagaimana ayat ini mengajarkan kita tentang kualiti dalam beramal, bukan sekadar kuantiti, serta bagaimana kebesaran Allah SWT tergambar dalam penciptaan langit dan seluruh alam. 📌 Saksikan perbincangan penuh dalam 30 Hari 30 Ayat hanya di TV AlHijrah & platform digital! #30Hari30Ayat #Ramadan2025 #KitaSelangor @Farhatul Fairuzah @Hb Ali Zaenal Abidin Al Hamid