SHAH ALAM, 16 MAC: Kejayaan, kekayaan dan kekuatan manusia semuanya datang daripada kuasa dan izin Allah SWT, jelas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Pendakwah bebas itu ketika menghurai ayat 22 hingga 24 Surah Al-Mulk berkata orang kafir terutamanya sering bersandar pada dua perkara iaitu kekuatan ketenteraan dan kewangan.
“Mereka berasa dua kekuatan ini menjadi sandaran pada mereka apabila berjaya, adakah kamu fikir kekuatan ketenteraan itu boleh menolong kamu selain Allah?
“Adakah kamu rasa dengan adanya rezeki yang banyak kamu boleh membuat apa sahaja? Manusia seperti ini mereka berasa boleh berjaya tanpa Allah,” katanya menerusi Program 30 hari 30 ayat al-Quran sempena Ramadan.
Tambah beliau, menerusi surah berkenaan Allah SWT turut memberi perumpamaan perbezaan di antara orang beriman dan sebaliknya.
“Orang tidak beriman mereka berjalan sambil menundukkan kepala, wajahnya beralih ke bawah kerana enggan menerima hidayah sebaliknya mereka yang beriman jalannya tegak dan lurus.
“Sebab itu Allah SWT menciptakan kamu pendengaran, penglihatan dan hati… dua mata dan telinga pintu untuk masuk ke hati. Pendengaran dan hati pasti disoal oleh Allah SWT,” katanya.
Mengulas lanjut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut memberi perumpamaan pengajaran surah itu begitu dekat seperti peristiwa Perang Badar.
“Dan ingatlah atas semua izin Allah, kita usaha kita ikhtiar tetapi semuanya dengan izin Allah dan hidayah Allah, ia sangat besar dan bermakna pada kehidupan kita,” katanya.
Terdahulu tiga ayat berkenaan dibacakan qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 Farhatul Fairuzah Panut.
Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah mulai 1 Ramadan dengan kupasan Surah Al-Fatihah.
Berikut episod sebelum ini:
- Episod 1: Surah Al-Fatihah himpunan keseluruhan kandungan al-Quran
- Episod 2: Surah Al-Fatihah penting, perakuan sebagai hamba Allah SWT
- Episod 3: Konsep kasih sayang perlu terus diamal, hindar sifat benci
- Episod 4: Perhitungan akhirat, syurga, neraka
- Episod 6: Doa zahir sifat kehambaan
- Episod 7: Golongan dimurkai, sesat tidak rasai nikmat Allah
- Episod 8: Al-Mulk miliki nikmat besar, halang azab dan murka Allah
- Episod 9: Ibadah berkualiti lebih dipandang, laksana penuh ikhlas dan istiqamah
- Episod 10: Taat perintah Allah, hindari seksa api neraka
- Episod 11: Faham, dengar amal perkara baik
- Episod 12: Allah Maha Mengetahui
- Episod 13: Umat Islam diingatkan sentiasa syukuri rezeki, bertakwa kepada Allah
- Episod 14: Perumpamaan ciptaan burung dalam konsep rezeki, tawakal
📖 Surah Al-Mulk, Ayat 22-24
Kita sering melihat kejayaan sebagai hasil usaha dan kekuatan sendiri, tetapi ayat-ayat ini mengingatkan bahawa segala yang kita miliki yakni harta, kuasa, dan rezeki, semuanya datang dari Allah SWT.
Dalam episod kali ini, kita akan menyelami… pic.twitter.com/z7Ed8yEiGv
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) March 16, 2025