SHAH ALAM, 2 MAC: Program kupasan 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin sempena Ramadan kembali diadakan tahun ini.
Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah mulai hari ini dimulai dengan kupasan Surah Al-Fatihah.
Dalam episod pertama, surah berkenaan dibacakan oleh qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019, Farhatul Fairuzah Panut, manakala kupasan oleh Ustaz Faiz Fateh Al Azhari.
Menurut pengarah Akademi Pemikiran Turath itu, Surah Al-Fatihah yang menjadi rukun dan dibacakan sebanyak 17 kali dalam lima waktu solat fardu merupakan himpunan keseluruhan kandungan al-Quran.
“Allah SWT mengangkat ayat Al-Fatihah ini sebagai ayat yang penting kerana itulah diarahkan kepada Nabi Muhammad SAW diulang-ulangkan.
“Kenapa surah ini diulang dalam solat.. setiap rakaat? Kata para ulama Al-Fatihah itu sendiri secara umum menghimpunkan al-Quran,” katanya.
Tambah beliau, kandungan surah berkenaan menceritakan secara ringkas tentang ketuhanan, kenabian, keadilan dan perihal hari kebangkitan.
“Surah Al-Fatihah ni macam nota, bila kita dah baca semua surah lain dengan perinciannya, surah Al-Fatihah akan ‘wrap up’ balik.. semua apa yang kita faham tentang al-Quran,” katanya.
Sebagai penutup kupasan, Amirudin berkata empat konsep dalam surah Al-Fatihah merupakan rangkuman kehidupan insan dalam dunia pada hari ini.
“Konsep yang penting dalam Al-Fatihah adalah soal ketuhanan dan ketauhidan, soal junjungan Rasulullah, soal keadilan dan kehidupan seharian kita, muamalah kita dan terakhir tentang hari kiamat,” katanya.
📖 30 Hari 30 Ayat: Memahami Surah Al-Fatihah dengan Lebih Mendalam 📖
Alhamdulillah, Ramadan tahun ini kita kembali dengan 30 Hari 30 Ayat – satu perjalanan ilmu yang membawa kita menghayati dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam.
📌 Episod 1: Surah Al-Fatihah – Pembukaan… pic.twitter.com/TzkwPFMXKx
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) March 2, 2025