Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi mahasiswa Selangor yang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, Fatimah Nuha Mustaza di Taman Keramat, Kuala Lumpur pada 29 Mac 2025. Pelajar itu terlibat kemalangan di Jordan pada 7 Mac lalu. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor sedia hulur bantuan susulan bencana di Myanmar jika diperlukan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Kerajaan Negeri sedia menghulurkan bantuan susulan jika diperlukan dalam misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana gempa bumi di Myanmar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor mempunyai skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) yang ditubuhkan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengendalikan kes kecemasan dan bencana.

“Kita ada skuad PANTAS tetapi mereka lebih kepada pembersihan dan sebagainya. Kalau ada keperluan, kita akan berhubung dengan Wisma Putra.

“Malah mereka juga boleh hubungi kita, sukarelawan yang kita ada. Tetapi untuk urus bencana gempa bumi, kita perlukan kepakaran.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan tentera adalah mereka yang pakar dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui di Taman Keramat di sini, semalam.

Kementerian Luar menerusi kenyataan semalam memaklumkan Malaysia menghantar pasukan bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ke Myanmar untuk menjalani misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana.

Keputusan itu susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China dengan magnitud 7.7, kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan besar yang berlaku di negara terbabit selain merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau yang juga Pengerusi ASEAN turut menegaskan solidariti Malaysia bersama negara jiran dan menyatakan kesediaan negara untuk menyokong segala usaha bantuan dan pemulihan.


Pengarang :