SHAH ALAM, 28 MAC : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia menyelamatkan hampir satu tan lebihan juadah di bazar Ramadan menerusi program MySaveFood.
Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata dua bazar terlibat adalah bazar Ramadan Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas dan bazar Ramadan Simpang Empat Teluk Pulai.
“Sebanyak 969.61 kilogram (kg) lebihan makanan yang masih elok dan boleh dimakan berjaya diselamatkan sejak 17 hingga 21 Mac lalu.
“Lebihan juadah ini kemudian kita agihkan kepada Surau An-Nur, Bengkel Daya Klang, Maahad Tahfiz Al-Hirah dan Pertubuhan Nur Kasih di Klang,” katanya menerusi mesyuarat penuh hari ini.

Dalam pada itu, sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba Abd Hamid berkata MBDK turut menyediakan perkhidmatan kenderaan transit untuk ke Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.
“Perkhidmatan kenderaan transit ini disediakan bersebelahan pejabat kubur berkenaan bagi memudahkan waris dan keluarga untuk menziarahi pada hari perayaan nanti.
“Dalam pada itu, semua pasar awam milik MBDK juga akan ditutup pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kembali dibuka pada hari raya kedua,” katanya.