BUDAYARENCANA

Nota lapangan: ban dan banjir

Oleh Aizuddin H Anuar

1. Hidup di era pembangunan semacam menyeberang titian emas merentas sungai api sarat dengan misteri. Dahulunya sungai itu indah macam mimpi, realiti lama jadi lombong nostalgia. Kini, bahangnya memori hiba dan lucu.

2. Sungai yang sebelum ini tenang bertukar rakus, melahap daratan bila hujan berlarutan. Nalurinya keruh, sukar diramal saban tahun. Hati jadi tak keruan bila langit menyingkap kain basahannya. Hiba menyaksikan bibir sungai dibedah dengan aparat teknologi. Pokok-pokok di tebing ditebang untuk bina ban, bakal jadi penebat musuh air. Teknologi sama alam bergaduh, siapa yang mati di tengah-tengah?

3. Lucu melihat kemusnahan lagi dan lagi sebagai tanda taubat daripada kemusnahan lalu. Sungai ganas jadiannya sebab ulu hati bengkak tersumbat lumpur dari highlands. Pembangunan di atas sana mengalir deras membawa kesakitan kepada penghuni di hilir. Dengarnya musim dingin Inggeris di atas sana sudah usai. Nostalgia alam disulam tawa kecil buat meredakan gundah. Tanpa tawa hidup ini teramat berat, tenggelam sepi ke dasar sungai.

4. Masih ingat drama Taman Sri Muda? Ban dan infrastuktur tebatan lain (parit konkrit, rumah pam, kolam takungan, perangkap sampah, sistem amaran) dibangunkan selepas banjir besar tahun 1995, kosnya 38 juta. Tahun 2021 banjir besar bertandang lagi, seluruh negara memerhati negeri paling maju. Penduduk kawasan saman kerajaan, tuntut ganti rugi 3.8 juta. Jawapan balas dalam laras bahasa undang-undang simpulkan ia disebabkan ‘ketentuan Tuhan’ (act of God), di luar lingkungan kawalan manusia. Pokoknya, apa yang terjadi dalam hidup ini, yang bukan act of God?

5. Tapak pembinaan ban di kampung cantik dan rata lepas gugurkan pokok durian, duku, langsat, petai, jering, salak, buluh, pisang, rambutan, mangga, mata kucing yang Tok tanam. Dua puluh pokok durian ditebang sebagai korban tangan manusia untuk selamat dari bala banjir, menurut Mak. Dia duduk mencangkung mengumpul topsoil yang terdedah di tapak pembinaan, dipindah ke dalam polybag. Barangkali dia kerjakan ranah memori lampau untuk lestari anak cucu selepas waktunya. Sikit-sikit menyemai semula anak pokok diiring doa kelangsungan hidup di tebing sungai yang gondol, saudara asing yang tak lagi disapa mesra, berbasah-basahan. Apa lagi pilihan manusiawi selain redha?

6. Ban dibina untuk kebajikan orang kampung, lihat saja buktinya (nanti). Tanah yang dicekup, pokok yang ditebang diganti pampasan wang kerajaan. Durian runtuh dan keselamatan dari bah tengkujuh. Desas-desus ada orang kampung minta pula duit pelincir tambahan dari kontraktor sebelum boleh masuk tanah mereka untuk bertukang projek. Entah ya entah tidak. Apapun, no money no talk. Banjir atau tidak, hati perlu pelincir untuk lancarkan hidup di rantau ini.

7. Cebisan sejarah, hidup berdamai dengan saudara sungai: “Perhubongan negeri Pahang dengan negeri-negeri yang lain di-sa-keliling-nya pada zaman dahulu itu disambongkan oleh jalan-jalan sungai jua. Orang-orang yang hendak ka-Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai, atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Maka perhubongan dengan negeri Perak di-sambongkan oleh jalan-jalan yang lebeh sukar ia-itu mengikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis kedua-dua-nya anak Sungai Jelai. Maka perhubongan dengan negeri Selangor pula di-sambongkan oleh Sungai Semantan dan chawangan-chawangan-nya.”

8. Pembinaan ban berehat sejenak sempena hujan monsun akhir tahun. Di kedai kopi, terlihat pada dinding tanda dengan pen marker, paras air di musim banjir tahun 2014 dan 2021. Yang hiba juga jadi memori buat melawan lupa, jadi cerita gelak ketawa sambil pekena kopi. Orang kampung khabarkan, dari seberang sungai nampak buah durian lebat bercambah di pokok dalam lingkungan tanah Mak. Kami menapak di atas tapak ban melihat pokok durian yang untung sabut terselamat dari korban. Tapak kaki manusia tertekap di tanah merah, disulam tapak kaki kecil semacam anjing liar. Durian muda gugur bukan disebabkan ‘ketentuan Tuhan’, tapi direnggut monyet yang berleluasa. Mungkin mereka juga protes sebab padang sudah lain belalangnya. Berdamai saja. Durian muda di atas tanah dikutip, boleh diperam, dibuat gulai lemak. Selamat tiba di rumah, dibisik itu bukan tapak kaki anjing liar yang terlihat di tapak pembinaan, tapi jejak harimau kumbang.

9. Janji kerajaan: “Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia terus membangun dengan pesat dengan melaksanakan pelbagai program utama dalam sektor pertanian, infrastruktur, industri dan komersial. Dalam menghadapi masalah banjir yang terjadi samada secara semulajadi atau akibat pembangunan yang tidak terancang, maka program tebatan banjir telah dirancang dan dilaksanakan dengan lebih pantas.” Sekian lama, banjir dan pembangunan berpisah tiada. Rancangan Malaysia Ke-12 bajetkan 22 bilion untuk bina ban di sana dan sini – Sungai Pahang, Sungai Langat, Sungai Likas. Jika mencari simbol pembangunan, jangan hanya memandang ke langit biru mencari menara, cari juga sungai dan banjir kerana ban juga saksi act of humans, bukan act of God.

10. Tatkala kami menapak di atas tapak pembinaan, selamat memerhati sungai nun di bawah, Mak kata ban ini akan dibina lebih tinggi lagi dari pelan asal yang berdasarkan ramalan banjir 50 tahun. Bila selesai pembangunan ini, jika dilontar pandangan dari rumah, akan terlihat nisan tanah tingginya 15 kaki, pendinding dari sungai di sebelah sana. Berjiran dengan sungai tanpa perlu bersua muka, bertegur sapa. Ban ini mampu menongkah ketinggian aras banjir ramalan 100 tahun akan datang, pesan Mak mengusap gundah gulana setiap kali hujan bertalu-talu. Di waktu yang mendatang, bila kita semua sudah luput, siapa yang akan berdiri di atas ban tanah air ini untuk melihat buktinya?


Pengarang :