Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Saifuddin Shafi Muhammad mengumumkan bertanding jawatan majlis pimpinan pusat (MPP) dalam pemilihan parti Mei ini. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
AGENDANASIONAL

Pemilihan KEADILAN: Saifuddin tanding majlis pimpinan pusat, bawa suara akar umbi

SHAH ALAM, 28 MAC: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Saifuddin Shafi Muhammad mengumumkan bertanding jawatan majlis pimpinan pusat (MPP) dalam pemilihan Mei ini.

Beliau berkata hasrat itu didorong keazaman memperkukuhkan agenda reformasi terutama memastikan suara akar umbi didengar, keperluan mereka difahami dan aspirasi mereka diutamakan.

“Walaupun agenda reformasi telah dilaksanakan di peringkat kerajaan, terdapat jurang ketara di peringkat akar umbi yang memerlukan perhatian lebih progresif dan strategik.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Saifuddin Shafi Muhammad mengumumkan bertanding jawatan majlis pimpinan pusat (MPP) dalam pemilihan parti Mei ini. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

“Saya yakin kekuatan KEADILAN terletak kepada anggotanya. Mereka telah bekerja keras, berdedikasi dan percaya kepada perjuangan parti,” katanya yang juga setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Selangor menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengalamannya di Selangor mengajar bahawa tradisi akar umbi sebagai pemegang taruh amat penting dan mesti diperkasakan.

“Jika kita ingin memastikan KEADILAN terus relevan dan dihormati, kita perlu membina kepimpinan yang berani mendengar iaitu sentiasa mengambil kira pandangan dan cadangan anggota semua peringkat.

“Selain itu, pemimpin perlulah responsif dan progresif terhadap isu semasa termasuk bertindak dengan strategi yang konstruktif. Aspek lain ialah mengutamakan kebersamaan dengan melibatkan anggota dalam proses membuat keputusan supaya mereka rasa dihargai.

“Seorang pemimpin juga perlu bersikap tidak hanya memberi janji, tetapi membuktikan dengan tindakan yang konkrit dan berkesan,” katanya.

Saifuddin berkata parti tersebut memerlukan MPP yang tidak gentar memimpin, tidak takut berubah dan berani berdepan dengan cabaran.

“Dalam beberapa bulan akan datang, saya akan turun ke cabang seluruh negara untuk menyampaikan mesej ini secara terus kepada anggota. Saya mahu mendengar sendiri pandangan, harapan dan cadangan akar umbi.

“Saya menawarkan kepimpinan yang memupuk inspirasi, membina keyakinan dan membawa perubahan yang realistik serta berani. Bersama kita bina KEADILAN yang lebih kuat, lebih progresif dan lebih diyakini,” katanya.


Pengarang :