Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyerahan Insentif Khas Aidilfitri kepada Penggerak Masjid Selangor di Dewan Jamuan Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Peranan penggerak masjid penting pelihara imej Islam di Selangor

SHAH ALAM, 28 MAC: Penggerak masjid di seluruh negeri berperanan penting memelihara dan mempertahan imej Islam, terutama mengekalkan tanggapan positif dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka perlu menerapkan fikiran kebersamaan dan memiliki keperibadian baik dalam memperkukuh agama secara menyeluruh.

“Perlu ada dalam fikiran mereka bukan hanya bertugas untuk satu masjid atau kariah, sebaliknya imej mereka itu memberikan impak kepada imej orang Islam di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penerima selepas majlis Penyerahan Insentif Khas Aidilfitri kepada Penggerak Masjid Selangor di Dewan Jamuan Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“(Ini termasuk) imej Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) sebagai ketua agama Islam dan Imej jabatan (Jabatan Agama Islam Selangor).

“Jadi fungsi dan tugasan mereka itu sangat penting menampilkan watak dan keperibadian yang baik,” katanya selepas menyerahkan Insentif Khas Aidilfitri kepada penggerak masjid di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 3,129 penggerak masjid dari 447 rumah ibadah seluruh Selangor menerima Insentif Khas Aidilfitri 2025 berjumlah RM1.564 juta. Setiap seorang menerima RM500.

Amirudin turut memberitahu bantuan khas kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah sebulan gaji selesai diagih kepada penjawat awam negeri, manakala tambahan setengah bulan akan disalur pertengahan April.

 

 


Pengarang :