Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran sehari satu ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Akademi Pemikiran Turath Ustaz Faiz Fateh Al Azhari.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perhitungan di akhirat, syurga atau neraka (VIDEO)

SHAH ALAM, 5 MAC: Setiap kebaikan manusia di dunia meskipun sekecil zarah akan dibalas dengan syurga manakala kezaliman tidak akan terlepas hukuman di akhirat kelak.

Pengarah Akademi Pemikiran Turath Ustaz Faiz Fateh Al Azhari berkata demikian ketika mengupas ayat keempat Surah Al-Fatihah iaitu yang menguasai hari pemerintahan dan hari pembalasan.

“Setiap yang kita amalkan di dunia setiap hari seperti solat, puasa ia merupakan bentuk pembalasan atas nikmat Allah iaitu pemilik hari pembalasan.

“Allah akan balas lebih besar apa yang hambaNya laksanakan di dunia…syurga bagi mereka yang taat dan neraka bagi yang melakukan maksiat.

“Allah mengajar konsep yang besar dalam kehidupan mukmin iaitu hari kebangkitan sesuatu yang penting kerana ia memberi insan ini harapan,” katanya menerusi program 30 hari 30 ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin sempena Ramadan.

Tangkap layar video bacaan surah Al-Fatihah oleh juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 Farhatul Fairuzah Panut.

Dalam penutup kupasan, Amirudin berkata ayat keempat Surah Al-Fatihah itu cukup jelas iaitu ia adalah penilaian dan pembalasan Allah terhadap hamba di akhirat.

“Ayat ini sangat mudah, terangkum hari pembalasan dan penilaian agama yang mana akan menentukan kedudukan kita dan wujudnya konsep harapan terhadap kehidupan manusia yang akan diteruskan selama-lamanya di akhirat nanti,” katanya.

Terdahulu, episod keempat surah berkenaan dibacakan qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019 Farhatul Fairuzah Panut.

Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah mulai 1 Ramadan dimulai dengan kupasan Surah Al-Fatihah.

Episod 1: Surah Al-Fatihah himpunan keseluruhan kandungan al-Quran
Episod 2: Surah Al-Fatihah penting, perakuan sebagai hamba Allah SWT
Episod 3: Konsep kasih sayang perlu terus diamal, hindar sifat benci

@amirudinshari

Tuhan yang Menguasai Hari Pembalasan. Setiap amalan kita di dunia akan diperhitungkan. Ayat ini membawa kita memahami konsep keadilan, di mana kebaikan sekecil zarah akan dibalas dengan syurga, dan kezaliman tidak akan terlepas dari hukuman. Bagaimana pemahaman ini memberi harapan kepada insan yang diuji? Mari kita hayati bersama dalam episod keempat 30 Hari 30 Ayat ini. 📌 Tonton penuh di TV AlHijrah & platform digital! @farhatulfairuzah @ahmadfaizfateh 30Hari30Ayat Ramadan2025 KitaSelangor

♬ bunyi asal – Amirudin Shari – Amirudin Shari


Pengarang :