Ketua Pegawai Eksekutif Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) Mohammed Fariz Ghazali memberi penerangan mengenai mengenai sistem pemantauan jalan negeri kepada delegasi Kementerian Kerja Raya di bilik gerakan Infrasel, Shah Alam pada 26 Mac 2025. Foto Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sistem ‘Ronda’ Infrasel selesaikan 7,000 isu jalan rosak sejak Januari

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 28 MAC: Lebih 7,000 isu jalan berlubang di seluruh negeri berjaya diselesaikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) antara Januari hingga Februari lalu, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Menurut Mohammed Fariz Ghazali, pemantauan menggunakan sistem Penilaian Kecacatan Rangkaian Jalan (Ronda) dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) membantu mengesan kerosakan secara maya.

Jelasnya, sistem yang menggunakan kamera papan pemuka kereta secara langsung turut melaporkan aduan terus kepada kontraktor terlibat untuk membaiki jalan rosak dalam tempoh 24 jam.

“Sistem ini sebenarnya untuk memastikan kita mengikut sistem kontrak. Jumpa (jalan rosak) terus tampal. Rondaan pun ada kontrak perlu dibuat dua kali seminggu di jalan yang sama,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendengar penerangan Ketua Pegawai Eksekutif Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) Mohammed Fariz Ghazali mengenai sistem pemantauan jalan negeri di pusat pemantauan Infrasel, Shah Alam pada 26 Mac 2025. Foto Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia

Pada masa sama, katanya, Infrasel sedang membangunkan aplikasi AI terbaharu yang lebih menyeluruh dan matang untuk meningkatkan lagi sistem penyelengaraan jalan supaya lebih efisien.

Mohammed Fariz menambah sistem berkenaan akan memastikan ketelusan melalui rekod data yang dipantau AI, selain menjamin kontraktor melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Ia membantu Infrasel mendapatkan cara supaya jalan dibaiki segera melalui data yang diambil, jadi tidak boleh lari. Kontraktor kena beringat dan tunjuk prestasi terbaik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kementerian Kerja Raya (KKR) berhasrat menjalin kerjasama dengan Infrasel bagi penggunaan sistem teknologi ‘Ronda’ di peringkat persekutuan.

Beliau menjelaskan kerjasama itu membolehkan maklumat kerosakan jalan raya yang dikesan sistem Infrasel dikongsi dengan aplikasi MyJalan dibangunkan kementerian berkenaan.

“Inisiatif ini bertujuan mempercepat proses penyelenggaraan jalan raya dengan memastikan aduan yang diterima daripada rakyat dapat ditangani secara pantas dan efisien,” katanya.


Pengarang :