Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran sehari satu ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ustaz Faiz Fateh Al Azhari
AGENDANASIONAL

Surah Al-Fatihah penting, perakuan sebagai hamba Allah SWT (VIDEO)

SHAH ALAM, 3 MAC: Dua ayat pertama Surah Al-Fatihah sangat penting dalam menguji atau mengukur kefahaman umat Islam tentang ketauhidan dan ketuhanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ayat berkenaan memberikan maksud jelas dengan konsep keakuan kita selaku hamba-Nya

“Ini juga pengakuan kita bahawa Allah SWT memiliki segalanya di cakerawala, di bumi, di hati insan, malikat dan jin,” katanya pada episod kedua program kupasan 30 hari 30 ayat al-Quran.

Terdahulu dua ayat berkenaan dibaca oleh qariah jemputan yang juga juara Tilawah al-Quran Antarabangsa 2019, Farhatul Fairuzah Panut, manakala kupasan oleh Ustaz Faiz Fateh Al Azhari.

Faiz Fateh yang juga pengarah Akademi Pemikiran Turath berkata mengikut fahaman mazhab yang diikuti, Bismillah merupakan ayat pertama dalam Surah Al-Fatihah.

Justeru beliau menjelaskan perkataan itu menggambarkan bantuan Allah SWT kepada hambanya yang lemah dalam berdepan kekacauan dan pergelutan di muka bumi ini.

“Manusia serba lemah. Jadi ayat ini perakuan kita sebagai insan yang melakukan pekerjaan dengan nama Allah SWT dan terima bantuan dan barakah. Boleh katakan kita sebagai wakil khalifah di muka bumi.

“Alhamdulillah pula menggambarkan hakikat terbesar isu ketiganan iaitu Allah SWT memiliki sifat kesempurnaan, kepujian macam maha pengasih, maha penyayang

“Manusia tak mampu mengetahui semua kesempurnaan Allah SWT sebab itu kita diajar bermunajat dengan lafaz ringkas,” katanya.

Program tadabbur yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah mulai semalam dengan kupasan Surah Al-Fatihah.

Episod 1:  Surah Al-Fatihah himpunan keseluruhan kandungan al-Quran

 


Pengarang :