OLEH SYAZA ATIKAH IBRAHIM
SHAH ALAM, 7 APRIL: Ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan boleh menebus baucar bernilai RM150 mulai sekarang sehingga 30 Jun ini.
Wakil rakyatnya, Wong Siew Ki berkata baucar fasa dua berkenaan boleh dituntut di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Kembangan dan perlu digunakan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh penebusan.
“Baucar ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian, dan diharapkan dapat mengurangkan beban penerima, terutama yang menyambut hari lahir antara April hingga Jun,” katanya.
Menurut beliau, seramai 2,217 penerima disasarkan menerima manfaat dalam fasa ini.
Siew Ki turut menasihatkan ahli SMUE agar mengemas kini maklumat peribadi termasuk nombor telefon dan alamat bagi memastikan tidak terlepas daripada sebarang notis penting.
“Ketika fasa pertama, ramai tidak menerima maklumat terkini kerana gagal kemas kini data mereka,” katanya lagi.